Menggunakan slogan "Boldly Yours", Zeekr X 2026 bukan sekadar menerima kemas kini kosmetik, malah turut dipertingkatkan dari aspek pengalaman pemanduan harian.
Model ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna bandar yang mahukan sebuah EV premium dengan gabungan prestasi, praktikaliti dan teknologi pintar dalam satu pakej.
Bagi varian Premium RWD, motor elektrik belakang kini menghasilkan 335HP dan 373 Nm, dipadankan dengan bateri 66 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 445 km (WLTP).
Pecutan 0-100 km/j pula mengambil masa 5.3 saat. Selain itu, varian ini turut menerima pengecas AC 11 kW, paparan Head-Up Display (HUD), rim 19 inci baharu, kemasan dalaman hitam-putih serta pilihan warna eksklusif Porcelain Pink.
Sementara itu, Flagship AWD menawarkan prestasi yang jauh lebih agresif menerusi sistem pacuan semua roda dengan kuasa 489HP dan 573 Nm.
Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.7 saat, manakala jarak perjalanan dianggarkan sehingga 415 km (WLTP).
Varian ini turut dilengkapi pengecas AC 22 kW, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan urutan (massage), rim forged hitam 20 inci, serta pilihan warna eksklusif Onyx Black dan Matte Khaki Green.
Kedua-dua varian turut menerima beberapa ciri baharu sebagai kelengkapan standard seperti pintu hadapan automatik, paparan interaktif pada tiang-B, peti sejuk terbina dalam berkapasiti 5.7 liter yang boleh menyejukkan sehingga -6°C atau memanaskan makanan sehingga 50°C, serta stereng baharu dengan kawalan sentuhan.
Ruang but juga kini lebih besar iaitu 404 liter, menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan harian atau aktiviti hujung minggu.
Dari aspek pengecasan, Zeekr X menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, membolehkan bateri dicas daripada 10% ke 80% dalam kira-kira 30 minit.
Bagi varian Flagship AWD, pengecas AC 22 kW pula mampu mengecas penuh bateri dalam sekitar empat jam, manakala Premium RWD menggunakan pengecas AC 11 kW.
Bahagian kabin turut menampilkan pelbagai ciri premium termasuk skrin infotainmen 14.6 inci, kluster instrumen digital 8.8 inci, sistem audio Yamaha 13 pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar 50 W, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, bumbung panoramik serta pencahayaan ambien 17 zon yang boleh diselaraskan mengikut rentak muzik.
Dari sudut keselamatan, Zeekr X dilengkapi tujuh beg udara serta pakej penuh sistem bantuan pemandu (ADAS) yang menggunakan lima kamera HD, lima radar gelombang milimeter dan 12 sensor ultrasonik.
Antara ciri yang disediakan ialah Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control, Lane Centering Control, Blind Spot Detection, Cross Traffic Alert, Automatic Parking Assist, Evasive Manoeuvre Assist serta Driver Monitoring System. Model ini juga memperoleh penarafan keselamatan 5 bintang ASEAN NCAP dan Euro NCAP.
Di Malaysia, Zeekr X Premium RWD ditawarkan pada harga RM158,800, manakala Flagship AWD berharga RM175,800.
Kedua-duanya didatangkan bersama jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 150,000 km, jaminan bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 km, serta perkhidmatan sambungan internet percuma selama setahun dengan kuota 6 GB sebulan.
Pembeli turut boleh memilih sama ada pakej pembiayaan khas dengan bayaran pendahuluan melalui kad kredit sehingga 48 bulan tanpa faedah, atau menerima pengecas dinding 22 kW dan pengecas mudah alih 3-pin secara percuma.