Trak Pameran Bergerak ECRL Singgah DiPrima Sri Gombak

oleh Qalif Latif|
Orang ramai yang mahu mengenali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan lebih dekat berpeluang mengunjungi trak pameran bergerak ECRL yang kini singgah di Prima Sri Gombak (Sebelah Coffee Bean), Selangor.

Trak pameran tersebut berada di lokasi hari ini, 2 September 2026 dan dibuka kepada orang ramai sehingga jam 5 petang.
ECRL

Bawa ECRL lebih dekat kepada orang ramai

Menggunakan sebuah trak yang diubah suai menjadi ruang pameran bergerak, ia dilengkapi skrin LED bersaiz besar, ruang informasi dan pentas yang membolehkan pengunjung melihat sendiri pelbagai maklumat berkaitan projek ECRL.

ECRL

Turut dipamerkan ialah model tren penumpang ECRL yang memberikan gambaran lebih dekat mengenai reka bentuk tren yang bakal digunakan untuk perkhidmatan tersebut.

Pengunjung boleh mendapatkan penerangan mengenai jajaran ECRL, lokasi stesen, sistem rel dan beberapa fakta utama berkaitan operasi perkhidmatan berkenaan.

Konsep bergerak ini membolehkan pameran ECRL dibawa dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendekati orang ramai dan memberikan penerangan mengenai projek tersebut secara terus kepada masyarakat setempat.
ECRL

ECRL
Jawab enam soalan dan terima hadiah

Selain melihat pameran, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti kuiz yang disediakan di dalam trak berkenaan.

Pengunjung perlu menjawab enam soalan berkaitan ECRL dan mereka yang berjaya melengkapkan kuiz tersebut akan menerima hadiah yang disediakan.

Aktiviti interaktif itu turut memberi peluang kepada pengunjung menguji pengetahuan selepas mendapatkan pelbagai maklumat mengenai projek ECRL sepanjang berada di ruang pameran.

ECRL sepanjang 665 km

Berdasarkan maklumat yang dipamerkan, ECRL mempunyai jajaran sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu di Kelantan dengan Pelabuhan Klang di Selangor.

Keseluruhan jajaran mempunyai 20 stesen dan dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Tren penumpang ECRL direka untuk beroperasi pada kelajuan sehingga 160 km/j dengan kapasiti 425 penumpang, manakala tren kargo pula mempunyai kelajuan operasi sehingga 80 km/j.

ECRL menggunakan landasan standard gauge selebar 1,435 mm, manakala perjalanan penuh dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dijangka mengambil masa empat jam.

Projek yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang itu dijadualkan memulakan operasi pada 2027.

Bagi penduduk sekitar Batu Caves dan Gombak yang mahu melihat sendiri pameran berkenaan, trak pameran bergerak ECRL di Prima Batu Caves dibuka sehingga jam 5 petang hari ini.