Toyota Yaris Cross kini rasmi di Malaysia - 2 varian, dari RM99,900

oleh Firdaus Razani|
UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan model yang dinantikan, Toyota Yaris Cross baharu untuk pasaran Malaysia, sekali gus memperkukuh penawaran mereka dalam segmen B-SUV yang semakin mendapat perhatian pengguna tempatan.

Model ini hadir dengan dua pilihan trenkuasa iaitu varian petrol biasa (ICE) dan juga Hybrid Electric Vehicle (HEV), dengan harga bermula dari RM99,900.

Kehadiran Yaris Cross ini juga menandakan satu lagi langkah Toyota dalam memperluaskan strategi Multi-Pathway mereka, di mana pelanggan diberikan pilihan teknologi mengikut keperluan dan gaya penggunaan harian masing-masing.

Rekaan Luaran

Dari sudut rekaan, kedua-dua varian tampil dengan identiti SUV moden yang lebih agresif berbanding hatchback Yaris biasa. Ia menampilkan gril trapezoid berkembar, garis badan lebih tajam serta rim aloi 18-inci yang memberi penampilan lebih sporty dan tegap.

Lampu utama LED, DRL, roof rail serta rekaan lampu belakang yang memanjang ke sisi badan turut membantu memberikan imej lebih premium dan lebar.

 

yaris

 

Untuk variasi warna, Toyota menawarkan lima pilihan termasuk Spicy Scarlet SE, Dark Turquoise SE dan Platinum Pearl White.

Dengan penampilan seakan crossover, Yaris Cross juga menawarkan lega bumi setinggi 210 mm, menjadikannya lebih praktikal untuk keadaan jalan tempatan termasuk laluan tidak rata atau kawasan banjir cetek.

 

Dimensi dan Praktikaliti

Walaupun berada dalam segmen B-SUV, Yaris Cross menawarkan dimensi yang agak praktikal dengan panjang keseluruhan 4,310 mm serta ruang kargo sehingga 471 liter bagi versi petrol.

Bagaimanapun, untuk versi hibrid ia menawarkan ruangan kargo but yang kecil sedikit kapasitinya iaitu pada 465 liter.

 

yaris

 

Toyota turut menyediakan ruang simpanan tambahan di bawah lantai but bersama fungsi two-level deck board bagi memudahkan susunan barangan.

Menariknya, ruang but ini masih dikekalkan praktikal walaupun untuk versi HEV kerana bateri hibrid diletakkan di bawah tempat duduk belakang.

Menambahkan lagi ciri yang menarik, ia turut didatangkan dengan Power back door dengan fungsi kick sensor sebagai ciri standard, sesuatu yang jarang ditemui dalam SUV segmen ini.

 

yaris

 

Ruang Dalaman dan Teknologi

Masuk ke ruang kabin, kedua-dua varian hadir dengan tema Blue-Black bersama kemasan soft-touch, steering dibalut kulit serta paparan meter digital TFT bersaiz 7-inci.

Sistem infotainmen pula menggunakan skrin sentuh 10.1-inci lengkap dengan sokongan wireless Apple CarPlay dan Android Auto. Turut tersedia ialah pengecas telefon tanpa wayar, rear USB-C ports serta Panoramic View Monitor (PVM).

 

yaris

 

Bagi varian HEV, ia menerima kemasan tempat duduk synthetic leather dengan corak Breathable mesh iaitu rekaan fabrik yang membantu pengudaraan lebih baik, sekaligus memberi keselesaan tambahan ketika pemanduan jarak jauh dalam cuaca panas.

Penampilan tempat duduk itu juga disertakan dengan jahitan biru yang menjadi identiti model elektrifikasi Toyota.

 

yaris

 

Enjin dan Prestasi – Petrol vs Hibrid

Toyota Yaris Cross 1.5S (Petrol)

Varian petrol menggunakan enjin 1.5-liter 2NR-VE DOHC Dual VVT-i bersama transmisi CVT. Enjin ini menghasilkan 106 PS dan 138 Nm torque, sekaligus menawarkan pemanduan yang lebih ringkas serta kos penyelenggaraan lebih rendah untuk penggunaan harian.

Toyota turut menyatakan enjin ini sama seperti yang digunakan pada Toyota Veloz, sekaligus memberikan tahap kebolehpercayaan yang sudah terbukti.

Apa yang membuatkan versi Petrol ini lebih menarik juga adalah ia didatangkan dengan paddle shifter yang pasti memberikan penukaran gear yang lebih menjiwai setiap pemanduan.

 

yaris

 

Toyota Yaris Cross 1.5S HEV

Bagi varian HEV pula, ia menggunakan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang menggabungkan enjin 1.5-liter 2NR-VEX bersama motor elektrik. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 111 PS.

Motor elektriknya menghasilkan 80 PS dan 141 Nm torque, manakala enjin petrol pula menjana 91 PS dan 121 Nm torque.

 

yaris

 

Apa yang membezakan versi HEV ialah keupayaannya bergerak menggunakan motor elektrik sahaja pada kelajuan rendah menerusi EV Mode, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan menghasilkan pemanduan lebih senyap di dalam bandar.

Toyota mendakwa penggunaan bahan api untuk versi HEV boleh mencecah antara 27.8 km/l hingga 33.3 km/l berdasarkan ujian dalaman mereka.

Menariknya lagi, bateri lithium-ion pada Yaris Cross HEV tidak memerlukan pengecasan manual kerana ia menggunakan sistem self-charging seperti model hibrid Toyota lain.

 

yaris

 

Pengendalian dan Suspensi

Toyota Yaris Cross menggunakan suspensi MacPherson Strut di hadapan dan torsion beam di belakang.

Tetapan ini dikatakan memberi keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan ketika dipandu di jalan bandar mahupun lebuh raya.

SUV ini juga mempunyai turning radius hanya 5.2 meter, sekaligus memudahkan urusan parkir atau membuat pusingan-U di kawasan sempit.

 

yaris

 

Ciri Keselamatan

Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sembilan sistem bantuan pemanduan aktif. Antaranya termasuk:

  • Pre-Collision System
  • Adaptive Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Keeping Control
  • Automatic High Beam
  • Blind Spot Monitor
  • Rear Cross Traffic Alert

Turut tersedia ialah 6 beg udara, Vehicle Stability Control (VSC), Hill-start Assist Control serta Panoramic View Monitor untuk membantu pemanduan harian menjadi lebih selamat.

Waranti dan Harga

Toyota Yaris Cross hadir dengan waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Untuk varian HEV, bateri hibrid pula dilindungi waranti sehingga 8 tahun tanpa had perbatuan, dan boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun.

 

yaris

 

Harga Toyota Yaris Cross di Malaysia:

  • Toyota Yaris Cross 1.5S – RM99,900
  • Toyota Yaris Cross 1.5S HEV – RM109,900

Toyota Yaris Cross kini sudah dibuka untuk tempahan di semua bilik pameran Toyota seluruh negara dan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Bukit Raja, Selangor.