Menurut laporan VietnamNet Global, pelaburan itu melibatkan operasi pengeluaran Toyota di Phuc Yen, wilayah Phu Tho, yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada wilayah Vinh Phuc.
Pada 28 Ogos lalu, Jawatankuasa Rakyat Wilayah Phu Tho menyerahkan keputusan pindaan dasar pelaburan dan sijil pendaftaran pelaburan yang disemak buat kali ke-12 kepada Toyota Motor Vietnam bagi projek pemasangan, pengeluaran dan import kenderaan syarikat itu.
Jumlah pelaburan lebih RM1.47 bilion
Di bawah pelan terbaharu berkenaan, Toyota mendaftarkan tambahan modal sebanyak US$283.7 juta (RM1.12 bilion), menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan projek tersebut melebihi US$373 juta (RM1.47 bilion).
Antara komponen utama dalam pengembangan berkenaan ialah penambahan barisan pengeluaran untuk kenderaan hybrid.
Langkah itu bakal membolehkan Toyota mengeluarkan model hybrid di Vietnam, berbanding keadaan sekarang apabila semua model hybrid Toyota yang dijual di negara itu masih diimport sepenuhnya (CBU).
Bagaimanapun, Toyota belum mengumumkan model hybrid yang akan dikeluarkan di Vietnam menerusi pelaburan tersebut.

Semua model hybrid Toyota masih diimport
Toyota merupakan pengeluar pertama yang memperkenalkan kenderaan petrol-electric hybrid ke pasaran Vietnam.
Namun, berbanding beberapa pesaingnya, pengeluar Jepun itu lebih perlahan dalam memulakan pengeluaran kenderaan hybrid di Vietnam.
Ketika ini, semua model hybrid Toyota yang ditawarkan di Vietnam masih dibawa masuk secara CBU. Pelaburan baharu itu akan mengubah keadaan berkenaan apabila Toyota mula menghasilkan kenderaan hybrid di negara tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Wilayah Phu Tho, Tran Duy Dong turut meminta Toyota memberi keutamaan kepada inovasi teknologi dalam pengeluaran electrified vehicles.
Beliau turut menggesa Toyota memperluaskan rangkaian pembekal komponen dari Vietnam bagi meningkatkan kadar kandungan dalam negara dan melabur dalam latihan tenaga kerja Vietnam supaya mereka boleh mengisi jawatan penting dalam pengurusan syarikat.
Vietnam sasar kandungan dalam negara sehingga 40 peratus
Industri automotif Vietnam mencatatkan pertumbuhan positif sepanjang lima tahun kebelakangan ini dan terus menarik pelaburan baharu termasuk pengembangan operasi pengeluar sedia ada.
Kerajaan Vietnam turut mengenal pasti sektor automotif sebagai salah satu industri keutamaan menerusi Supporting Industry Development Program 2026-2035 yang diluluskan di bawah Keputusan Perdana Menteri No. 929 pada 29 Mei 2026.
Menerusi program tersebut, Vietnam menetapkan sasaran kadar kandungan dalam negara antara 22 hingga 30 peratus menjelang 2030 sebelum meningkat kepada antara 32 hingga 40 peratus menjelang 2035.