Pengiktirafan itu berdasarkan prestasi bagi tahun fiskal April 2025 hingga Mac 2026, dengan TCM dinilai menerusi beberapa aspek utama termasuk prestasi perniagaan, kepuasan pelanggan, kecemerlangan perkhidmatan selepas jualan dan keberkesanan operasi.
TCM menjalankan operasi jualan dan pemasaran Nissan di Malaysia menerusi Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM).
Pengiktirafan tertinggi Nissan
Nissan Global Award merupakan pengiktirafan tertinggi Nissan bagi menilai kecemerlangan pengedarnya di seluruh dunia.
Menurut Nissan, pencapaian tersebut menunjukkan keupayaan TCM mengekalkan prestasi perniagaan dan pada masa sama memberikan tumpuan terhadap kepuasan pelanggan serta kecemerlangan operasi.
Presiden Nissan ASEAN dan Nissan Thailand, Masao Tsutsumi berkata, Tan Chong Motor berjaya menyerlah dalam persekitaran industri automotif yang semakin kompetitif dan berkembang pesat.
Menurutnya, kemampuan TCM mengekalkan prestasi perniagaan sambil meningkatkan kepuasan pelanggan mencerminkan tahap kecemerlangan yang dicari Nissan dalam kalangan pengedarnya.
Beliau turut menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap semangat, disiplin dan kerjasama seluruh warga Tan Chong.
TCM mahu tingkatkan lagi pengalaman pelanggan
Naib Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Christopher Tan berkata, Nissan Global Award 2026 bukan sekadar pencapaian syarikat, sebaliknya turut menjadi pengiktirafan kepada kakitangan dan rakan pengedar yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan Nissan di Malaysia atas kepercayaan, kesetiaan dan sokongan yang diberikan.
Menurut Christopher, TCM selepas ini akan menetapkan sasaran lebih tinggi dengan memberi tumpuan terhadap keupayaan jualan dan perkhidmatan selepas jualan, selain meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan Nissan.
TCM juga akan terus bekerjasama dengan rangkaian pengedar dan Nissan bagi meningkatkan nilai kepada pelanggan serta menyokong perkembangan syarikat dalam pasaran automotif Malaysia.
Hampir tujuh dekad bersama Nissan di Malaysia
Hubungan Tan Chong dengan Nissan di Malaysia bermula pada 1957 apabila Tan Chong Motors dilantik sebagai pemegang francais jenama Nissan/Datsun di negara ini.
Nissan/Datsun kemudian menjadi antara jenama paling laris di Malaysia pada 1970, manakala Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 1974.
Hari ini, ETCM yang merupakan anak syarikat milik penuh TCMH bertanggungjawab terhadap jualan dan pemasaran kenderaan Nissan di Malaysia.

Selain pemasangan dan pengedaran kenderaan, kumpulan Tan Chong turut menawarkan perkhidmatan berkaitan automotif termasuk perkhidmatan selepas jualan, pembiayaan pembelian, pajakan dan insurans.
Nissan Global Award 2026 kini menjadi satu lagi pencapaian penting buat Tan Chong selepas hampir tujuh dekad mengendalikan jenama Nissan di Malaysia.