Suzuki Hayabusa M6 2026 terima kemas kini - Special Edition dengan warna Pearl Vigor Blue dari RM123,900

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Suzuki Malaysia memperkenalkan kemas kini baharu bagi model ikonik, Suzuki Hayabusa M6 2026 tampil dengan pilihan warna baharu serta grafik yang diperbaharui, selain memperkenalkan varian Special Edition eksklusif dalam warna Pearl Vigor Blue.

Untuk pasaran Malaysia, versi standard ditawarkan pada harga RM120,000 manakala Special Edition pula pada RM123,900 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran) dan kini boleh didapati di semua pengedar Suzuki Big Bike World di seluruh negara.

Dari segi teknikal, Hayabusa M6 masih mengekalkan DNA prestasi tinggi yang menjadikannya ikon sejak lebih dua dekad lalu. 

 

2

 

Ia dikuasakan enjin 1,340 cc empat silinder sebaris DOHC dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan Suzuki Ram Air Direct (SRAD), menghasilkan penghantaran kuasa yang lancar serta tork padu untuk pecutan tanpa kompromi. 

Enjin itu turut dipertingkat dengan pelbagai teknologi seperti crankcase baharu untuk aliran minyak lebih efisien, piston dan connecting rod ringan bagi mengurangkan getaran, serta sistem pembakaran Twin Swirl Combustion Chamber (TSCC) yang lebih efisien.

Apa yang benar-benar membezakan Hayabusa generasi baharu ialah kehadiran Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), satu pakej elektronik canggih yang merangkumi traction control, launch control, quick shifter dua hala, cruise control, engine brake control dan pelbagai mod tunggangan yang boleh disesuaikan mengikut gaya penunggang. 

 

3

 

Sistem itu disokong oleh unit IMU dari Bosch yang memantau pergerakan motosikal dalam pelbagai paksi bagi memastikan kestabilan maksimum dalam apa jua situasi.

Dari sudut rekaan, Hayabusa kekal dengan siluet aerodinamik ikonik yang diinspirasikan daripada burung peregrine falcon, haiwan terpantas di dunia. 

Garisan badan yang tajam dan aliran udara yang dioptimumkan bukan sahaja meningkatkan kelajuan maksimum, tetapi juga memberikan keselesaan ketika tunggangan jarak jauh. 

 

4

 

Sistem suspensi pula menggunakan fork USD KYB boleh laras sepenuhnya bersama rangka aluminium twin-spar yang menawarkan keseimbangan antara ketegaran dan keselesaan.

Kemas kini M6 mungkin nampak minimal dari luar, tetapi ia mengekalkan reputasi Hayabusa sebagai “Ultimate Sportbike” dengan gabungan kuasa, teknologi dan gaya yang sukar ditandingi. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dua warna baharu tersebut ialah Bright Ivory/Titan Black, serta Matte Bordeaux Red/Metallic Matte…
Pelancaran Motosikal
Mengambil alih peranan Suzuki Assemblers Malaysia, Suzuki Malaysia Sdn Bhd kini merupakan…
Berita Domestik
Dipetik daripada rakan media MotoMalaya.net, hal ini diperkuatkan dengan surat rasmi berkaitan…