Menurutnya, pasukan itu mengekori kenderaan berkenaan dari Pekan Changlun sehingga ke hadapan sebuah motel sebelum ditahan untuk diperiksa.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut mendapati seorang lelaki warga Myanmar berada di tempat duduk pemandu manakala dua wanita warga Myanmar pula berada di bahagian belakang.
"Hasil temu bual awal mendapati kedua-dua wanita terbabit dipercayai baru memasuki Malaysia dan diambil dari kawasan Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam sebelum dibawa ke Changlun," katanya pada sidang akhbar di IPD Kubang Pasu pada Selasa.
Susulan maklumat yang diperoleh, pasukan polis kemudian menyerbu sebuah bilik di motel dan menahan enam lelaki serta dua wanita warga Myanmar.
Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik di Motel yang terletak bersebelahan turut membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.
Mohd Radzi berkata, keseluruhannya seramai 13 warga Myanmar termasuk pemandu kenderaan berusia 20 hingga 35 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
Dalam operasi sama, polis turut merampas Toyota Alphard yang dipercayai digunakan bagi tujuan mengambil dan menghantar migran yang baru memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.