Range Rover Electric rasmi - Jarak gerak 536 km, 542 HP, keupayaan off-road

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Selepas sekian lama dinantikan, Range Rover Electric akhirnya diperkenalkan secara rasmi sebagai model EV pertama dalam sejarah 56 tahun Range Rover.

Tempahan untuk model itu kini telah dibuka, dengan Range Rover Electric dihasilkan di kilang JLR di Solihull, United Kingdom, bersama varian petrol dan hibrid.

Range Rover Electric menggunakan dua motor elektrik jenis permanent-magnet, masing-masing dipasang pada gandar hadapan dan belakang.

Gabungan kedua-dua motor tersebut menghasilkan 542 HP dan 850 Nm, dengan pecutan 0-60 100 kmj dalam masa 4.3 saat.

Angka tork tersebut menjadikan Range Rover Electric sebagai Range Rover dengan tork paling tinggi pernah dihasilkan.

 

2

 

Dengan prestasi tersebut, JLR mendakwa SUV elektrik itu mampu menawarkan prestasi setaraf model V8 tanpa menggunakan setitik petrol.

Tenaga elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 118.5 kWj, menggunakan susunan 344 sel prismatik, bateri itu dipadankan dengan seni bina elektrik 800 volt serta sokongan sistem pengecasan split-charging.

Dengan pengecas DC pantas berkuasa 350 kW, Range Rover mendakwa bateri boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 22 minit.

Pada kadar pengecasan maksimum, pengecasan selama hanya 10 minit mampu menambah sekitar 201 km jarak perjalanan.

Walaupun menggunakan sistem kuasa elektrik sepenuhnya, Range Rover tidak berkompromi dari segi kemampuan off-road.

 

3

 

Sistem Integrated Traction Management boleh melaraskan kelajuan motor dalam masa hanya 50 milisaat apabila mengesan gelinciran roda.

Menurut Range Rover, tindak balas tersebut kira-kira 100 kali lebih pantas berbanding sistem yang menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Sementara itu, sistem Intelligent Driveline Dynamics membolehkan antara 0 hingga 100 peratus tork belakang dihantar mengikut keperluan untuk memastikan SUV kekal stabil dan mempunyai cengkaman mencukupi.

Range Rover Electric turut dilengkapi mod Single Pedal, membolehkan pemandu mengawal kenderaan ketika mendaki cerun sehingga 33 darjah atau menuruni cerun sehingga 45 darjah hanya menggunakan pedal pemecut.

Lebih menarik, kemampuan meredah air juga dikekalkan, Range Rover Electric boleh meredah air sehingga 35 inci (89 cm).

 

4

 

Menurut Matt Becker, Vehicle Engineering Director JLR, fokus pembangunan adalah untuk memastikan Range Rover elektrik itu memberikan tahap kawalan dan keyakinan yang sama ketika dipandu di jalan raya mahupun di laluan mencabar.

Range Rover Electric berkongsi asas seni bina dengan model Range Rover berkuasa mild-hybrid, plug-in hybrid dan petrol.

Kesemua model tersebut dihasilkan pada barisan pengeluaran yang sama di kilang Solihull.

Bagi menyokong peralihan kepada elektrifikasi, JLR telah melatih semula kira-kira 9,000 pekerja di kilang tersebut, manakala 1,500 lagi menerima latihan di lokasi lain di kawasan West Midlands, England.

Pek bateri dan unit pemacu elektrik pula dihasilkan di Electric Propulsion Manufacturing Centre milik JLR di Wolverhampton, yang turut menghasilkan enjin pembakaran dalaman.

 

4

 

Pembeli boleh memilih Range Rover Electric dalam konfigurasi jarak roda pendek atau panjang, dengan beberapa tahap kemasan ditawarkan iaitu SE, Autobiography, SV, SV Black dan SV Ultra

Turut ditawarkan ialah First Edition, yang hadir dengan pilihan warna badan Belgravia Green, Santorini Black atau Varesine Blue.

Dengan gabungan jarak perjalanan sehingga 536 km, kuasa 542 HP, tork 850 Nm, sistem 800V dan kemampuan off-road yang masih menjadi keutamaan, Range Rover Electric cuba membuktikan bahawa elektrifikasi tidak semestinya bermakna mengorbankan identiti sebuah Range Rover.

Model itu juga melengkapkan barisan elektrifikasi Range Rover yang turut merangkumi Range Rover PHEV, selain Range Rover Sport Electric yang menggunakan sistem rangkaian kuasa berkaitan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Urban Automotive Range Rover SVR 'V2' 2018   Model tersebut dengan kit V2, warna badan Estoril…
Berita Domestik
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai dibawa dari negara Eropah. "Nilai…
Berita Global
  Pemilik Range Rover ini betul-betul memberi perhatian kepada bahagian dalam. Bukan setakat…