Qatar tetap mahu anjur MotoGP, F1

oleh Penyumbang Rencana|
Qatar masih berhasrat menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP dan Formula 1 (F1) pada November ini walaupun wujud ketidaktentuan susulan konflik yang melanda rantau berkenaan.

Presiden Persekutuan Permotoran dan Motosikal Qatar (QMMF), Abdul Rahman Abdullatif Al Mannai berkata, persiapan untuk kedua-dua perlumbaan tetap berjalan seperti dirancang.

"Kami sudah (berada dalam keadaan) selamat selama beberapa bulan ini. Lapangan terbang kami beroperasi sepenuhnya, termasuk penerbangan transit antara Asia dan Eropah.

"Jika anda mengunjungi Qatar, anda akan melihat kehidupan kembali seperti biasa. Jadi, kami sangat menantikan untuk menganjurkan perlumbaan semula tidak lama lagi," katanya dalam sesi soal jawab yang dikeluarkan QMMF, pada Selasa.

MotoGP dijadualkan berlangsung di Litar Lusail, berhampiran Doha, pada 8 November manakala F1 pula dijadualkan mengadakan perlumbaan di litar sama pada 29 November.

Bagaimanapun, F1 dijangka membuat keputusan muktamad pada pertengahan September mengenai perlumbaan Qatar, dengan musim berkemungkinan ditamatkan di Eropah sekiranya Qatar dan Abu Dhabi tidak dapat meneruskan perlumbaan masing-masing.

Al Mannai berkata persiapan untuk MotoGP sedang berjalan seperti biasa manakala perbincangan dengan pihak F1 turut diteruskan.

"Kami sedang berjalan seperti biasa dan membuat persiapan untuk MotoGP, begitu juga dengan perbincangan bersama Formula 1.

"Sudah tentu ada perkara yang tidak dapat kami jangka. Keadaan ini sukar dan kami tidak tahu apa yang akan berlaku. Situasi berubah-ubah walaupun setakat ini keadaan benar-benar tenang.

"Ia bergantung kepada apa yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Bagi kami, kami tidak boleh menghentikan perancangan. Kami perlu bersedia. Kami mengambilnya satu langkah pada satu masa untuk melihat keadaan dan membuat penilaian. Namun setakat ini, semuanya baik dan semuanya berjalan seperti dirancang," katanya.

Perlumbaan F1 di Qatar dan Abu Dhabi mempunyai kepentingan besar kepada siri berkenaan kerana kedua-dua penganjur menyumbang yuran penganjuran bernilai puluhan juta dolar kepada hasil Formula 1.

Sebelum ini, Kejuaraan EnduranceDunia (WEC) sudah membatalkan perlumbaan yang sepatutnya berlangsung pada 24 Oktober ini di Qatar susulan ketidaktentuan keadaan di rantau berkenaan.

Reuters

Berita Berkenaan

Berita Global
Susulan krisis bahan api, kerajaan negara itu melanjutkan dua minggu lagi penutupan institusi…
Sukan Bermotor
Syarifuddin atau lebih dikenali Damok melengkapkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan…
MotorGP
  Pasukan dari Itali jelas memainkan peranan penting dalam Kejohanan dan dalam kelas MotoGP, sama…