Proton Lancar Kempen Stay Safe & Save, Diskaun 10 Peratus Alat Ganti dan Pemeriksaan Keselamatan

oleh Qalif Latif|
Proton melancarkan Kempen Stay Safe & Save di seluruh negara yang menawarkan penjimatan bagi beberapa alat ganti tulen terpilih di samping pemeriksaan keselamatan kenderaan secara percuma.

Kempen yang bermula pada 1 September 2026 itu berlangsung selagi stok masih ada dan terbuka kepada semua pelanggan Proton di pusat servis bertauliah seluruh negara, termasuk cawangan 2S.

Stay Safe & Save

Diskaun 10 peratus alat ganti terpilih

Menerusi kempen berkenaan, pelanggan menikmati diskaun 10 peratus bagi bateri, pad brek dan bilah pengelap cermin tulen Proton terpilih.

Tawaran tersebut diberikan apabila alat ganti berkenaan dibeli dan dipasang di cawangan yang mengambil bahagian, dengan harga promosi berbeza mengikut model kenderaan.

Selain itu, setiap pelanggan yang menyertai kempen berkenaan turut menerima pemeriksaan keselamatan kenderaan 40 poin secara percuma.

Pemeriksaan itu diperluaskan daripada pemeriksaan standard 20 poin bagi membolehkan penilaian lebih menyeluruh terhadap sistem utama kenderaan.

Menurut Proton, tawaran berkenaan bertujuan membantu pemilik mengesan sebarang masalah lebih awal, menyelenggara kenderaan dengan baik dan memastikan perjalanan lebih meyakinkan.

Proton x Little Joe tawar dua wangian

Pada masa sama, Proton turut meneruskan kerjasama dengan Little Joe menerusi fasa ketiga yang bermula pada 25 Ogos 2026 dan berlangsung selagi stok masih ada.

Stay Safe & Save

Pelanggan boleh mendapatkan pewangi udara 3D Proton x Little Joe pada harga RM17 tanpa syarat perbelanjaan minimum.

Dua wangian ditawarkan iaitu Amber berwarna merah dan Ginger Lemon berwarna biru, dengan produk berkenaan tersedia untuk semua model Proton di pusat servis bertauliah 4S, 3S dan 2S.

Little Joe yang berasal dari Switzerland menggunakan polimer tidak toksik dengan minyak wangian dari Itali dan Perancis. Setiap pewangi direka untuk mengekalkan harumannya sehingga 45 hari.

Stay Safe & Save

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, penjagaan pelanggan tidak berakhir selepas sesebuah kenderaan diserahkan, sebaliknya diteruskan pada setiap kunjungan servis sepanjang tempoh pemilikan.

Menurut beliau, Kempen Stay Safe & Save dapat mengurangkan kos alat ganti tulen Proton yang penting di samping menyediakan pemeriksaan keselamatan lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Kerjasama Proton dengan Little Joe pula memberikan nilai tambahan kepada pengalaman pelanggan ketika mengunjungi pusat servis.

Proton kini mempunyai rangkaian 196 pusat servis di seluruh negara yang disokong tenaga kerja terlatih dan alat ganti tulen Proton. Tempahan janji temu servis juga boleh dilakukan menerusi aplikasi Proton Link 2.0.

Pelanggan digalakkan membuat tempahan lebih awal sebelum mengunjungi pusat servis bertauliah pilihan masing-masing untuk menikmati tawaran yang disediakan menerusi kempen tersebut.