Juara dunia Formula 1 tujuh kali itu berkongsi beberapa gambar F40 miliknya yang sedang menjalani proses restorasi, termasuk kerja besar melibatkan enjin yang dikeluarkan daripada kereta.
Hamilton membawa F40 berkenaan ke Maranello untuk dipulihkan dengan bantuan jurutera dan mekanik Ferrari.
Kereta impian sejak kecil
Hamilton berkata Ferrari F40 mempunyai nilai sentimental yang cukup besar kepadanya kerana ia merupakan antara kereta yang diimpikannya sejak zaman kanak-kanak.

Malah, ketika menyertai Ferrari pada 2025, Hamilton memastikan sebuah F40 berada bersamanya pada hari pertamanya di Maranello sebagai simbol betapa pentingnya model tersebut kepadanya.
Hamilton kemudian menemui sebuah F40 yang diselaputi habuk selepas tersimpan di dalam sebuah garaj selama lebih tiga dekad.
Melihat keadaan kereta itu dan mengetahui betapa jarangnya F40 ketika ini, Hamilton mengambil keputusan untuk membelinya sebelum menghantarnya ke Maranello.
Pasukan jurutera dan mekanik Ferrari kemudian menghabiskan masa beberapa minggu untuk menghidupkan semula supercar tersebut.
Hamilton menyifatkan Ferrari F40 sebagai sebuah karya seni dan berterima kasih kepada semua individu di Maranello yang terbabit dalam projek restorasi berkenaan.

Jual seluruh koleksi kereta pada 2025
Menariknya, pembelian F40 itu hadir selepas Hamilton mengesahkan pada 2025 bahawa dia telah menjual keseluruhan koleksi kereta peribadinya.
Koleksi tersebut sebelum ini dipercayai merangkumi beberapa jentera bernilai tinggi termasuk Pagani Zonda 760 LH, Mercedes-AMG Project One, Ferrari LaFerrari dan Shelby Cobra 427 keluaran 1966.
Bagaimanapun, ketika bercakap menjelang Grand Prix Azerbaijan 2025, Hamilton mengakui masih terdapat sebuah kereta yang mahu dimilikinya, iaitu Ferrari F40.
Hasrat tersebut kini akhirnya menjadi kenyataan menerusi F40 yang ditemuinya tersimpan lebih 30 tahun itu.
Ferrari terakhir diluluskan Enzo Ferrari
Ferrari F40 diperkenalkan pada 1987 bagi meraikan ulang tahun ke-40 Ferrari dan merupakan model jalan raya terakhir yang mendapat kelulusan Enzo Ferrari sebelum pengasas syarikat itu meninggal dunia pada 1988.
F40 menggunakan enjin V8 2.9 liter twin-turbo yang menghasilkan 478 PS (471 hp) dan tork 577 Nm, dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.
Penggunaan bahan ringan seperti Kevlar, gentian karbon dan aluminium membolehkan berat F40 dikekalkan pada sekitar 1,250 kg.

Ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam sekitar 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum melebihi 320 km/j, menjadikannya antara kereta jalan raya terpantas di dunia ketika diperkenalkan.
Ferrari menghasilkan lebih 1,300 unit F40 antara 1987 hingga 1992 dan model itu kini menjadi antara Ferrari klasik paling bernilai serta paling diburu pengumpul.
Hamilton belum mendedahkan secara terperinci keadaan asal F40 miliknya atau keseluruhan kerja yang dilakukan sepanjang proses restorasi.
Bagaimanapun, dia memberi bayangan akan berkongsi lebih banyak mengenai projek tersebut, termasuk kemungkinan rakaman di sebalik tabir proses restorasi F40 itu menerusi saluran YouTube miliknya.