Menariknya, ini adalah GT3 convertible pertama yang ditawarkan dengan transmisi manual sahaja, satu langkah berani dalam era automatik dan DCT yang semakin dominan.
911 GT3 S/C hadir sebagai kesinambungan kepada Porsche 911 Speedster, tetapi dengan pendekatan lebih moden, perbezaan utama adalah bumbung kain automatik.
Dengan satu butang, bumbung boleh dibuka atau ditutup dalam masa kira-kira 12 saat (dengan kelajuan sehingga 50 kmj semasa bergerak), manakala wind deflector boleh diaktifkan dalam hanya dua saat.
Aspek pengendalian merupakan perkara penting bagi sebuah convertible, GT3 S/C menggunakan suspensi double wishbone di bahagian hadapan, pertama untuk 911 convertible dengan talaan yang diinspirasikan daripada GT3 coupe versi Touring.
Walaupun mekanisme bumbung menambah sedikit berat, Porsche memastikan ia hanya sekitar 30 kg lebih berat berbanding Speedster, satu angka yang masih sangat mengagumkan.
Untuk mengekalkan berat serendah mungkin, penggunaan material ringan sangat meluas, panel seperti bonet, fender, pintu dan komponen casis menggunakan gentian karbon (CFRP), ditambah dengan rim magnesium dan brek seramik sebagai standard.
Malah, struktur badan turut menggabungkan elemen magnesium bagi memastikan keseimbangan antara kekuatan dan berat.
Masuk ke dalam kabin, GT3 S/C kekal fokus kepada pemandu, ia hanya mempunyai dua tempat duduk menjadikannya satu-satunya 911 convertible dua tempat duduk tulen.
Pilihan bucket seat ringan dengan struktur CFRP turut ditawarkan untuk mereka yang mahukan pengalaman lebih hardcore.
Dari segi kuasa, ia menggunakan nadi 4.0 liter flat-six NA menghasilkan 502 HP dan 450 Nm, sama seperti GT3 coupe, namun angka kuasa turun 15 HP disebabkan perkakasan emisi baharu, tetapi dengan mengekalkan aci sesondol RS-spec GT3 generasi 992.2, ia masih mampu rev sehingga 9000rpm.
Ia mampu memecut dari 0-100 kmj dalam sekitar 3.9 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 313 km/j.
Berbeza dengan GT3 coupe yang menawarkan pilihan manual atau PDK, GT3 S/C hanya hadir dengan transmisi manual tiga pedal, menghidupkan semula pengalaman pemanduan analog yang semakin pupus.
Harga GT3 S/C bermula sekitar USD275,350 (lebih RM1.3 juta), namun menariknya ia sebenarnya lebih “murah” berbanding GT3 coupe spesifikasi setara, dengan penjimatan sekitar 11%.
Ianya termasuk komponen premium seperti panel karbon yang diambil terus daripada Porsche 911 S/T, dalam dunia yang semakin digital, ini mungkin antara 911 terakhir yang benar-benar ‘bercakap’ dengan pemandunya.