Porsche 911 GT3 Bergsport - Hanya 100 unit untuk empat negara Eropah

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Porsche sekali lagi memperkenalkan sebuah 911 edisi khas, tetapi kali ini ia hadir dengan satu keistimewaan tersendiri.

Dikenali sebagai Porsche 911 GT3 Bergsport, model itu hanya akan dihasilkan sebanyak 100 unit dan eksklusif untuk empat pasaran Eropah iaitu Austria, Perancis, Itali dan Switzerland.

Bermakna, peminat Porsche di luar empat negara tersebut tidak akan berpeluang mendapat model istimewa tersebut.

Dibangunkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur, 911 GT3 Bergsport berasaskan 911 GT3 dengan Touring Package dan direka sebagai penghormatan kepada sejarah perlumbaan hillclimb di kawasan Alpine.

 

2

 

911 GT3 Bergsport membuat kemunculan sulungnya pada acara Arosa ClassicCar pada 3 September 2026, menggunakan laluan perlumbaan sepanjang kira-kira 7.2 km yang mempunyai perubahan ketinggian sekitar 1,385 kaki.
 
Porsche menggambarkan Bergsport sebagai gabungan antara pengalaman pemanduan dan elemen reka bentuk yang diinspirasikan oleh kawasan Alps.

Ciri paling menonjol ialah warna badan Valleygreenmetallic, warna baharu yang dibangunkan khusus untuk edisi khas itu melalui program Paint to Sample Plus Porsche.

Bahagian kabin pula menggunakan kemasan kulit Valley Green, lengkap dengan jahitan hiasan yang mengambil inspirasi daripada bentuk puncak gunung.

 

3

 

Tema Alpine itu bukan sekadar kosmetik, nama Bergsport sendiri mempunyai kaitan dengan sejarah Porsche dalam perlumbaan mendaki bukit, termasuk model-model Bergspyder yang dibangunkan khusus untuk laluan sebegitu.

Dari segi kuasa, 911 GT3 Bergsport masih menggunakan enjin flat-six 4.0 liter NA yang sama seperti 911 GT3 standard, menghasilkan 502 HP dan 469 Nm, serta pilihan transmisi manual 6 kelajuan.

Kotak gear manual itu hadir menerusi Lightweight Package, yang turut merangkumi rim aluminium forged untuk mengurangkan berat keseluruhan.

Porsche turut menyediakan sistem front-axle lift, membolehkan bahagian hadapan kereta dinaikkan ketika melalui jalan curam, bonggol atau selekoh sempit di laluan pergunungan.

 

4

 

Menariknya, Bergsport turut dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 90 liter, sesuai dengan karakter sebuah sports car untuk perjalanan jauh merentasi kawasan Alps, bukannya semata-mata digunakan di litar.

Pembangunan 911 GT3 Bergsport dilakukan dengan kerjasama oleh pasukan Porsche di Austria, Perancis, Itali dan Switzerland, sekali gus menjelaskan mengapa model itu hanya ditawarkan di empat negara tersebut.

Walaupun asas mekanikalnya masih sama dengan 911 GT3, Porsche memberikan Bergsport identiti tersendiri melalui kombinasi warna, kemasan dalaman dan peralatan Lightweight Package.

Ia juga bukan dibangunkan sebagai kereta litar ekstrem seperti 911 GT3 dengan Manthey Package, sebaliknya Bergsport lebih kepada sebuah sports car jalan raya yang meraikan sejarah perlumbaan Porsche di kawasan Alpine.

Dengan hanya 100 unit akan dihasilkan, Porsche 911 GT3 Bergsport bakal menjadi antara 911 edisi khas yang sukar dimiliki, lebih-lebih lagi kerana peluang untuk mendapatkannya hanya dibuka kepada pembeli di empat negara Eropah.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa…
Berita Global
Dibuka pada Jun 1927, Nürburgring terkenal sebagai antara litar paling mencabar di dunia, laluan…
Berita Global
Kali ini, sebuah 911 GT2 RS telah diubah menjadi jentera unik yang mengambil inspirasi daripada…