Sebanyak lapan unit lif telah mula beroperasi sepenuhnya di stesen-stesen berikut:
-
Stesen Hang Tuah – 1 unit lif
-
Stesen Imbi – 2 unit lif
-
Stesen Maharajalela – 2 unit lif
-
Stesen Medan Tuanku – 2 unit lif
- Stesen Raja Chulan – 1 unit lif
Kesemua lif ini telah menjalani pemeriksaan teknikal dan keselamatan yang ketat oleh agensi kerajaan berkaitan sebelum dibuka untuk penggunaan orang awam.
Dalam kenyataan rasmi, Rapid Rail turut memaklumkan bahawa lapan unit lif tambahan dan satu unit eskalator kini sedang menjalani proses akhir ujian pentauliahan dan pengeluaran permit. Kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan oleh pengguna menjelang akhir Mei 2025.
Pelaksanaan inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelaburan bernilai RM12.6 juta yang melibatkan pelbagai penambahbaikan di kesemua 11 stesen Monorel Kuala Lumpur. Ia turut merangkumi pemasangan sistem pintu platform automatik, lif platform khas untuk kerusi roda yang telah beroperasi sejak Disember 2024, serta kerja-kerja baik pulih lif dan eskalator sedia ada.
Rapid Rail turut berkongsi bahawa jumlah purata penumpang harian Monorel meningkat daripada 52,000 pada tahun 2023 kepada 57,000 pada tahun 2024, peningkatan sebanyak 8% yang menunjukkan tren pemulihan positif dalam penggunaan pengangkutan awam bandar.
Kemudahan lif ini dijangka memberi manfaat besar kepada golongan warga emas, individu kurang upaya (OKU), dan keluarga dengan anak kecil, khususnya yang menggunakan kereta sorong bayi. Justeru itu, pengguna disarankan untuk memberi keutamaan kepada mereka yang memerlukan ketika menggunakan lif.
Sebarang maklum balas berkaitan kemudahan atau perkhidmatan boleh dikemukakan terus kepada Rapid KL melalui talian 03-7885 2585.
Sumber gambar: Instagram rasmi @myrapidkl