Baru-baru ini, penulis berpeluang menguji pandu Proton X50 2025. Hasilnya? Proton jelas mahu mengekalkan dominasi dalam segmen SUV kompak.
Penggayaan (Luaran)
Secara visual, X50 2025 kini tampil lebih agresif dan moden, dimana bahagian bampar hadapan kini mengadaptasi rekaan ‘big mouth’, seakan mulut harimau yang sedang membuka taringnya.
Tambahan itu, ia juga dipadankan dengan unit pencahayaan LED yang tampil dengan rekaan baharu lebih tajam, selari dengan garis tegas bampar hadapan.
Manakala hud depan menampilkan lekukan gagah bersama acah-acah vent, menambah imej sporty.
Dari sisi pula, siluet aerodinamik masih dikekalkan, dipadankan rim aloi 18 inci corak baharu.
Manakala, bahagian belakang lebih menyerlah dengan empat tip ekzos yang kekal, tetapi kini dipadankan tail light bar penuh lebar. Varian tertinggi turut menerima spoiler dengan gaya paten Carbon Fibre look, menjadikannya lebih sporty dan premium.
Penggayaan (Dalaman)
Masuk ke kabin, perubahan besar dapat dirasai. Susun atur baharu lebih minimalis dan premium, tetapi kekal dengan kombinasi warna merah-hitam yang sinonim dengan sporty dan sama seperti versi sebelum ini.
Ketiadaan tombol gear pada konsol tengah mungkin berasa sedikit janggal terutamanya untuk kereta jenama Proton, namun ia diganti dengan tuil gear di belakang stereng yang lebih ringkas dan moden.
Selepas dicuba, ia terasa lebih praktikal dan seakan gaya EV premium.
Selain itu, material dalaman juga terasa lebih baik, dengan kemasan kulit pada tempat duduk dan papan pemuka memberi rasa lebih selesa ketika memandu.
Walaupun memandu SUV, kedudukan pemandu juga tidak terasa terlalu tinggi, memberikan pandangan natural dan mudah dikawal.
Selain itu, ciri unik seperti pelindung matahari separa lutsinar memberikan nilai tambahan. Ia membantu mengurangkan silau tanpa menjejaskan penglihatan, sesuai bagi mereka yang tidak gemar menggunakan cermin mata gelap.
Pengalaman Pemanduan
Di atas jalan, Proton X50 2025 membawa perubahan yang ketara.
Dengan nadi kuasa baharu, enjin 1.5TD i-GT empat silinder turbo dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan DCT, menghasilkan pemanduan lebih lancar, responsif, dan senyap.
Dengan kuasa mencecah 181PS dan tork sekitar 285Nm, SUV ini antara yang paling berkuasa dalam kelasnya.
Bagi penulis, tekanan pedal minyak kini terasa lebih linear dan bertenaga, sesuai untuk pemanduan yang santai di bandar mahupun ketika memotong di lebuh raya.
Apa yang lagi penting adalah, enjin baharu kini lebih senyap dan selesa.
Selain itu, bagi unit suspensinya pula lebih matang, ia cukup firm untuk kawalan dinamik, tetapi masih menyerap gegaran jalan dengan baik.
Dari segi penggunaan bahan api, sekali tangki penuh membolehkan X50 baharu ini bergerak lebih 500km tanpa masalah.
Sepanjang sesi pandu uji sejauh lebih 150km dari Shah Alam ke Melaka melalui jalan dalam Pedas Linggi, penulis mencatatkan purata penggunaan sekitar 8.6L/100km.
Angka ini diperoleh walaupun penulis memandu dengan gaya yang lebih agresif, kerap menekan pedal untuk menguji respons enjin dan transmisi.
Ini memberi gambaran bahawa dengan gaya pemanduan lebih tenang, angka penggunaan bahan api berpotensi menjadi lebih rendah dan efisien.
Sistem stereng memberikan tindak balas lebih tepat, manakala bunyi angin dan tayar juga lebih senyap berbanding model sebelumnya. Ini membuatkan X50 terasa lebih refined dan premium.
Namun, penulis merasakan jika Proton menambah gear shifter semi-auto, ia boleh memberi lebih banyak kawalan terutama untuk engine braking ketika menuruni bukit atau jalan berliku.
Tambahan pula, mod pemanduan kini lebih menarik dengan kehadiran Mod Adaptif. Sistem ini menyesuaikan prestasi mengikut gaya pemanduan secara automatik, menjadikan pengalaman lebih mudah tanpa perlu kerap menukar mod secara manual.
Keselesaan dan Praktikaliti
Sebagai SUV keluarga, aspek keselesaan juga penting.
Bagi penulis yang berketinggian 183 cm, ruang kaki di barisan kedua masih selesa. Proton bijak mereka bentuk dengan lekukan pada belakang tempat duduk hadapan, memberikan tambahan ruang untuk lutut.
Sudut menyandar pada kerusi belakang juga cukup baik, menjadikannya sesuai untuk perjalanan jauh. Selain itu, headroom masih mencukupi walaupun kereta ini berbumbung sporty, tidak terasa sempit.
Tambahan yang praktikal untuk keselesaan ialah air vent di barisan kedua, memastikan penumpang belakang mendapat pengudaraan yang baik, terutama ketika perjalanan panjang di cuaca panas Malaysia.
Di depan pula, keselesaan ditambah dengan tempat pengecasan tanpa wayar, port pengecasan USB Type-C yang mudah dicapai, serta ruang kabin yang kemas dan tersusun.
Ciri dan Teknologi
X50 2025 kini tampil dengan sistem infotainmen skrin besar 14.6 inci, menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Skrin ini juga menjadi pusat kawalan untuk mod pemanduan, penghawa dingin, navigasi, muzik, serta informasi kenderaan.
Lebih istimewa, Proton memperkenalkan sokongan tetapan dalam Bahasa Melayu penuh termasuk untuk fungsi arahan suara, ini menjadi langkah yang pastinya memudahkan pengguna tempatan selain memartabatkan bahasa kebangsaan.
Di hadapan pemandu pula, kluster meter digital 8.88 inci memberikan paparan jelas walaupun ringkas. Ia memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, aras bahan api, tekanan tayar (TPMS), dan status sistem keselamatan ADAS.
Hasilnya, papan pemuka kini kelihatan lebih rata, moden, dan kemas berbanding model X50 terdahulu.
Kesimpulan
Bagi penulis, Proton X50 2025 bukan sekadar facelift, ia adalah evolusi penuh yang membawa rekaan lebih segar, enjin baharu, teknologi lebih pintar, serta keselesaan yang lebih baik.
Tambahan itu, sebagai SUV segmen-B, ia menawarkan pakej seimbang untuk pemandu muda mahupun keluarga, ini kerana ia bergaya, praktikal, dan bertenaga.
Dengan semua pembaharuan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan Proton X50 masih kekal sebagai raja SUV kompak di Malaysia.
Spesifikasi Proton X50 2025
Enjin & Prestasi:
- Enjin: 1.5TD i-GT, 4-silinder turbo
- Transmisi: 7-kelajuan DCT
- Kuasa maksimum: 181PS
- Tork maksimum: 290Nm
Harga dan varian:
- Executive: RM89,800
- Premium: RM101,800
- Flagship: RM113,300