Pandu Uji Lamborghini Temerario Di Sepang, Dari Standard Hingga Alleggerita

oleh Qalif Latif|
Lamborghini Malaysia menjemput tujuh wakil media dari Asia Tenggara, termasuk tiga dari Malaysia termasuk penulis pada 24 April lalu ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi sesi pemanduan eksklusif Lamborghini Temerario yang telah dilancarkan di Malaysia, sempena perlumbaan siri Lamborghini Super Trofeo Asia 2026.


Lamborghini TemerarioLamborghini Temerario

Lamborghini Temerario
Lamborghini Temerario
Untuk pasaran tempatan, Lamborghini Temerario diperkenalkan pada harga bermula RM1.35 juta sebelum cukai, duti import dan pilihan aksesori tambahan.

Walaupun model ini sudah diperkenalkan untuk pasaran tempatan sebelum ini, sesi di Sepang memberi peluang terbaik untuk menguji keupayaannya dalam persekitaran sebenar sebuah litar antarabangsa.

Apa yang menjadikan sesi ini lebih istimewa, Lamborghini turut memberi peluang kepada penulis mencuba dua versi berbeza iaitu Temerario standard dan varian lebih fokus prestasi, Temerario Alleggerita.

Penulis diberikan peluang memandu jentera berprestasi tinggi itu selama 15 pusingan penuh di litar, selain satu lagi pusingan khas bersama pemandu uji rasmi Lamborghini bagi merasai kemampuan sebenar model baharu tersebut.

Lamborghini Temerario

 

Kuasa 920 CV, Enjin V8 Twin-Turbo Hybrid

Temerario membuka lembaran baharu buat Lamborghini apabila menggantikan Huracan, model ikonik yang sebelum ini terkenal dengan penggunaan enjin naturally aspirated V10.

Lamborghini Temerario

Bagi penggantinya, Lamborghini beralih kepada teknologi lebih moden menerusi enjin 4.0-liter V8 twin-turbo baharu bersama sistem hybrid, namun tanpa mengorbankan prestasi yang menjadi identiti jenama itu.

Hasilnya, Temerario menghasilkan kuasa keseluruhan 920 CV (907 hp), dengan 800 CV (789 hp) dijana oleh enjin pembakaran dalaman sahaja.

Ini bermakna model baharu ini bukan sahaja lebih canggih dari segi teknologi, malah jauh lebih berkuasa berbanding Huracan yang menghasilkan sehingga 640 PS (631 hp) dalam varian standard dan versi prestasi tinggi.

Lebih mengagumkan, enjin V8 baharu ini mampu berputar sehingga 10,000 rpm, satu angka luar biasa bagi enjin turbo moden dan cukup jarang ditemui dalam dunia automotif masa kini.

Lamborghini Temerario

 

Prestasi Sangat Buas

Atas kertas, Lamborghini Temerario mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.7 saat, manakala 0 hingga 200 km/j mengambil masa 7.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 343 km/j.

Di litar Sepang, angka tersebut bukan sekadar data spesifikasi. Setiap kali pedal throttle ditekan ketika keluar selekoh, kuasa dihantar dengan sangat pantas dan agresif.

Lamborghini Temerario

Lamborghini Temerario

Temerario Standard vs Alleggerita

Sepanjang sesi pandu uji, perbezaan antara model standard dan Alleggerita dapat dirasai dengan jelas.

Varian Alleggerita dibangunkan untuk pemanduan lebih agresif dengan penggunaan pakej penuh komponen carbon fiber khusus pada bahagian reka bentuk badan.

Ia juga lebih ringan dengan pengurangan berat melebihi 25 kg berbanding model standard.

Selain itu, Lamborghini menyatakan Alleggerita menawarkan peningkatan total downforce sebanyak 67 peratus, manakala aero efficiency meningkat 62 peratus.

Di atas litar, versi ini terasa lebih tajam ketika masuk selekoh, lebih stabil pada kelajuan tinggi dan memberi keyakinan tambahan ketika membrek keras.

Lamborghini Temerario

 

Pemanduan Automatik Hingga Mode Corsa

Penulis turut mencuba mod pemanduan automatik, di mana transmisi dikawal sepenuhnya oleh sistem jentera.

Apa yang unik, mod ini terasa sangat pintar dan pantas dalam menukar gear, seolah-olah memahami gaya pemanduan agresif pemandu. Ketika membrek sebelum selekoh, gear diturunkan tepat pada waktunya, manakala ketika keluar selekoh, gear ditukar pantas bagi memastikan kuasa sentiasa berada pada tahap optimum.

Namun apabila mod Corsa atau mod litar diaktifkan, keseluruhan karakter Temerario terus berubah menjadi jauh lebih agresif.

Penukaran transmisi menjadi lebih pantas dan kasar, suspensi bertukar lebih keras, respon enjin menjadi lebih segera, manakala bunyi ekzos juga lebih garang. Dalam mod ini, Temerario benar-benar terasa seperti jentera trek yang dilepaskan ke jalan litar.

Lamborghini Temerario

Lamborghini Temerario

15 Pusingan Untuk Faham Karakter Sebenar

Jumlah 15 pusingan di SIC memberi ruang secukupnya untuk memahami karakter sebenar Temerario.

Daripada membrek keras ke selekoh pertama, kestabilan di selekoh berkelajuan tinggi, hinggalah pecutan di laluan lurus utama Sepang, Temerario menampilkan kombinasi kuasa liar dan kawalan yang sangat meyakinkan.

Penulis turut berpeluang merasai sendiri fungsi launch control, dengan pecutan 0 hingga 100 km/j hanya dalam 2.7 saat. Ketika pedal ditekan penuh dari keadaan pegun, hentakan kuasa yang terhasil benar-benar ganas seolah-olah roh tercabut seketika sementara badan terus melekat rapat ke kerusi.

Stereng terasa pantas, casis responsif dan tahap cengkaman sangat tinggi walaupun dipandu agresif.

1 Pusingan Bersama Pemandu Uji Rasmi

Satu lagi pengalaman menarik ialah satu pusingan bersama pemandu uji rasmi Lamborghini.

Lamborghini Temerario

Di sinilah kemampuan sebenar Temerario dapat dilihat, dengan titik membrek yang jauh lebih lewat, kelajuan masuk selekoh lebih tinggi serta cara kuasa disalurkan keluar selekoh yang sangat kemas.

Apabila dikendalikan pemandu profesional, barulah jelas betapa tinggi tahap kejuruteraan casis, brek dan sistem pacuan model ini ketika diperah hampir ke had maksimum.

Ia membuktikan Temerario dibangunkan bukan sekadar untuk angka prestasi, tetapi benar-benar sebagai supercar pemandu sejati.

Selepas 15 pusingan di Sepang serta peluang menguji versi standard dan Alleggerita, jelas Temerario bukan sahaja laju di atas kertas, malah benar-benar mengujakan apabila dipandu di litar sebenar.

Lamborghini Temerario

Akhirnya, penulis mula memahami mengapa ada yang sanggup membayar harga tinggi untuk memiliki supercar seperti ini. Ia bukan semata-mata kerana kekuatan jenama atau angka prestasi semata-mata, tetapi nilai keseluruhan yang dibawa sebuah Lamborghini dari segi kejuruteraan, emosi, pengalaman pemanduan dan aura yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dengan kuasa hampir 1,000 HP, teknologi diinspirasikan Formula 1 dan pengeluaran terhad 499 unit,…