MIROS Lancar Program Penilaian TrackScore & MiRA, kerjasama tingkatkan keselamatan jalan raya

oleh Firdaus Razani|
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terus memperkukuh komitmen terhadap keselamatan jalan raya dengan pelancaran dua program penilaian keselamatan terbaharu serta dimeterainya tiga perjanjian strategik bersama rakan industri dan penyedia latihan.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Inisiatif ini diumumkan sempena Modern Vehicle Expert (MOVE) Symposium yang diadakan bersekali dengan penganjuran Automechanika Kuala Lumpur (AMKL) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), memperlihatkan peranan aktif MIROS dalam merangka penyelesaian berasaskan teknologi dan data dalam menangani isu keselamatan mobiliti moden.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah, yang turut merakamkan penghargaan atas kerjasama erat antara MIROS, CyberSecurity Malaysia, industri automotif dan pihak akademik dalam memacu inisiatif keselamatan yang lebih progresif dan berimpak tinggi.

Dua Inisiatif Penilaian Keselamatan Baharu

1. TrackScore
TrackScore merupakan sistem penarafan sukarela yang menilai spesifikasi dan prestasi sistem penjejakan (GPS/telematik) yang digunakan, khususnya dalam kenderaan komersial. Melalui pemantauan tingkah laku pemandu dan pelaporan prestasi, sistem ini mampu membantu agensi seperti JPJ, APAD dan LPKP dalam memperkukuh penguatkuasaan sedia ada.

TrackScore turut berfungsi sebagai asas kepada pembangunan sistem In-Vehicle Monitoring System (IVMS) yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.

2. Micromobility Rating Program (MiRA)
Program penilaian keselamatan sukarela ini memberi tumpuan kepada kenderaan mikromobiliti seperti e-skuters. MiRA dibangunkan berasaskan pendekatan ASEAN NCAP dan MyMAP, menyediakan maklumat keselamatan yang boleh diguna pakai oleh pengguna dan pihak berkuasa dalam membuat keputusan berkaitan pemilihan dan pelaksanaan kenderaan mikromobiliti yang lebih selamat.

Bagi memperkukuh ekosistem keselamatan jalan raya negara, MIROS turut menandatangani tiga perjanjian kerjasama strategik:

  1. MoA bersama Alpha International Training & Consultancy
    Fokus kepada pelaksanaan Certified Sleep Recovery & Management Programme, iaitu program latihan khusus bagi menangani isu keletihan dan microsleep dalam kalangan pemandu – selaras dengan usaha MIROS dalam mengurangkan risiko kemalangan berpunca daripada faktor manusia.
  2. MoU bersama MyLorry Technology Solutions
    Kerjasama ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam mempertingkatkan keselamatan pengangkutan komersial serta membangunkan kandungan pendidikan dan latihan berdasarkan data.
  3. MoU bersama Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia (AAA)
    Bertujuan mempertingkat kawal selia, penilaian dan advokasi penggunaan aksesori kenderaan yang mematuhi piawaian keselamatan, seterusnya mengurangkan risiko kepada pengguna.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini sekali lagi menegaskan peranan MIROS sebagai peneraju serantau dalam bidang keselamatan jalan raya. MIROS kekal komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan dasar dan teknologi keselamatan terus berkembang seiring ke arah sistem mobiliti yang lebih selamat, lestari dan inklusif.