Minyak pelincir wajib ada label Sirim bermula 7 April

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) akan mula menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024 bagi membanteras penjualan minyak enjin tiruan di pasaran.
CHERY Omoda 5 MREC Banner Campaign March 2025

Perintah tersebut digubal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan mewajibkan semua minyak enjin kenderaan motor yang dijual mempunyai label pematuhan yang diperakukan oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Penguatkuasaan baharu itu bertujuan untuk melindungi pengguna daripada bahaya penggunaan minyak enjin tiruan yang boleh menjejaskan prestasi enjin dan keselamatan jalan raya.

Selain itu, ia juga memastikan hanya produk tulen dan berkualiti tinggi berada di pasaran, sekaligus melindungi kepentingan pengeluar sah dalam industri.

Sejak Januari 2019 hingga Februari 2025, sebanyak 240 aduan berkaitan minyak enjin kenderaan motor diterima, dengan 36 kes telah diambil tindakan melibatkan rampasan bernilai RM1.15 juta.

Sejak tahun 2022 pula, KPDN dengan kerjasama SIRIM telah mengadakan sesi libat urus bersama pemain utama industri bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini sebelum ia dikuatkuasakan.

Mana-mana individu atau syarikat yang gagal mematuhi perintah tersebut boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk denda sehingga RM200,000 atau hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dengan penguatkuasaan itu, pengguna dapat mengenal pasti minyak enjin yang tulen dan berkualiti, mengelakkan risiko kerosakan enjin serta memastikan keselamatan ketika berada di jalan raya.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pensijilan tersebut sekaligus mengukuhkan komitmen Motul dalam menyediakan produk berkualiti tinggi…
Berita Global
Menurut Zameer Zahur Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM…
Berita Domestik
Majlis pelancaran produk baharu itu dianjurkan pada acara perlumbaan Sepang 12 Hours 2023, dimana…