MINI Countryman JCW ALL4: SUV Kompak Dengan Jiwa Hot Hatch

oleh Qalif Latif|
MINI Countryman kini bukan lagi si comel kecil yang hanya tahu bermain di jalan bandar sempit. Dalam versi John Cooper Works (JCW) ALL4, ia berubah menjadi jentera prestasi tinggi dengan karakter SUV sebenar, besar, berkuasa, tapi masih mengekalkan DNA “go-kart feeling” yang menjadikan MINI istimewa.

MINI Countryman JCW

Enjin Lebih Ganas, Pacuan Semua Roda

Di bawah bonet, MINI Countryman JCW ALL4 dilengkapi enjin 2.0 liter Turbo empat silinder yang menghasilkan 317hp dan 400Nm tork. Kuasa ini disalurkan ke semua roda melalui transmisi 7-kelajuan Steptronic Dual Clutch.

MINI Countryman JCW

Hasilnya, SUV kecil ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.4 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Sistem pacuan semua roda ALL4 bekerja pintar, mengagihkan daya antara gandar depan dan belakang secara dinamik untuk pastikan cengkaman optimum. Bila mod JCW diaktifkan, respon enjin jadi lebih ganas manakala sistem Adaptive Suspension pula menyesuaikan tahap kekerasan secara automatik.

Reka Bentuk Eksterior

Secara luaran, Countryman JCW memang mudah dikenali. Gril depan dihiasi corak chequered flag bersama logo JCW, lampu utama jenis LED Matrix dengan jalur merah sebagai identiti, serta bumbung merah yang jelas menonjolkan karakter sporty.

MINI Countryman JCW

Panjang keseluruhan kini 4.44 meter iaitu 13 sentimeter lebih panjang daripada model sebelumnya. Rim 20 inci John Cooper Works Flag Spoke dengan tayar sport melengkapkan rupa agresif SUV ini. Bahagian belakang pula tampil dengan lampu brek Union Jack, empat corong ekzos sebenar, spoiler besar dan tulisan Countryman gaya minimalist baharu. Ruang but berkapasiti 460 liter boleh diperluas hingga 1,450 liter apabila kerusi belakang dilipat rata.

MINI Countryman JCW

 

Kabin dan Teknologi

Masuk ke dalam, suasana terus berubah. Kabin JCW ini menggunakan kombinasi fabrik knit dan kulit Vescin dengan corak merah hitam yang memberi aura sukan lumba. Bahagian pintu dan papan pemuka turut menggunakan material fabrik knit sama, memberikan tekstur unik berbanding SUV lain.

MINI Countryman JCW


Sistem infotainment menggunakan skrin bulat OLED 9.4 inci yang kini menjadi identiti baharu MINI. Ia menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dengan sistem audio premium Harman Kardon yang menghasilkan bunyi sangat jernih.

Semua kawalan utama kini berasaskan sentuhan melalui skrin kecuali beberapa suis fizikal penting seperti butang Start Engine, kawalan mod pemanduan, gear selector dan kawalan audio. Kerusi pemandu dilengkapi fungsi urutan elektrik tetapi tiada ventilated seat. Port pengecas USB Type-C disediakan sebanyak empat, dua di depan dan dua di belakang bersama pengecas tanpa wayar dengan sistem penyejukan khas.

MINI Countryman JCW

 

Ciri Keselamatan dan Bantuan Pemandu

Countryman JCW ALL4 hadir lengkap dengan senarai teknologi keselamatan moden seperti Lane Change Warning, Rear Collision Prevention, Park Assist, Reversing Assistant dan sistem kamera 360 darjah dengan fungsi Remote 3D View.

MINI Countryman JCW

Turut disertakan sistem MINI Navigation AR, Head-Up Display berwarna penuh gaya jet pejuang, Adaptive LED Headlight, Cruise Control dengan fungsi brek serta High-Beam Assistant untuk memudahkan pemanduan malam. Semua varian Countryman dilindungi dengan waranti empat tahun tanpa had perbatuan termasuk servis berjadual percuma dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Pengalaman Pandu

Secara praktikal, Countryman JCW ini terasa lebih matang dan lebih besar. Ia masih mengekalkan karakter lincah MINI tetapi kini dengan rasa kestabilan yang lebih kukuh seperti SUV premium. Stereng terasa berat dan tepat, dan setiap kali pedal ditekan, responnya pantas dan linear.

MINI Countryman JCW
Apabila mode pemanduan JCW di aktifkan, warna kabin akan bertukar kepada merah membara


Suspensi adaptif memberi keseimbangan antara keselesaan dan kawalan. Dalam mod JCW, ride jadi lebih tegas dan kereta terasa lebih melekat di jalan. Namun di jalan Malaysia yang tidak rata, pemandu akan rasa sedikit gegaran tambahan tetapi itu harga untuk kestabilan dan cengkaman tahap tinggi.

Harga

MINI Countryman JCW ALL4 dijual pada harga RM393,888.00 atau RM405,988 .00 termasuk pakej lanjutan waranti dan servis.

MINI Countryman JCW

Untuk mereka yang mencari SUV kompak dengan personaliti luar biasa, bunyi ekzos sebenar dan aura eksklusif Eropah, model ini bukan sekadar gaya. Ia MINI paling besar dan paling berkuasa pernah dijual di Malaysia.

Dengan bayaran bulanan sekitar RM4,100, Countryman JCW mungkin bukan untuk semua orang, tetapi bagi mereka yang faham makna sebenar prestasi dan gaya, inilah MINI yang paling “dewasa” setakat ini.