Mercedes-Benz C-Class Electric debut secara rasmi - 482 HP, 800 Nm, 762 km jarak gerak

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Mercedes-Benz akhirnya memperkenalkan secara rasmi Mercedes-Benz C-Class Electric, sebuah sedan elektrik generasi baharu yang dibangunkan dari kosong sebagai EV, bukan sekadar versi elektrik kepada model enjin pembakaran dalaman.

Lebih menarik, model itu meninggalkan penjenamaan “EQ” dan tampil dengan identiti lebih matang serta selari dengan barisan C-Class konvensional.

Dari segi rekaan, C-Class Electric jelas berbeza daripada versi petrol/diesel, ia menampilkan gril hadapan berinspirasikan model klasik seperti Mercedes-Benz W111 dan Mercedes-Benz W108, tetapi dengan sentuhan moden. 

 

2

 

Bahagian hadapan turut dihiasi sehingga 1,050 elemen lampu LED bercahaya, manakala bumbung panoramik menampilkan 162 motif bintang bercahaya, satu pendekatan yang sangat futuristik tetapi masih mengekalkan DNA Mercedes.

Masuk ke dalam kabin, fokus utama ialah paparan digital gergasi MBUX Hyperscreen bersaiz 39.1 inci yang merentasi papan pemuka. 

Untuk varian tertentu, konfigurasi itu menggabungkan kluster instrumen 10.3 inci bersama dua skrin sentuh 14 inci, versi asas pula mengekalkan paparan pemandu dan infotainmen, tetapi menggantikan skrin penumpang dengan panel digital dekoratif.

 

3

 

Dari segi saiz, ini adalah C-Class paling luas pernah dihasilkan, platform EV khusus membolehkan jarak roda dipanjangkan kepada 2,962 mm, sekali gus meningkatkan ruang kaki dan keselesaan penumpang. 

Tambahan pula, ketiadaan enjin hadapan membuka ruang kepada “frunk” berkapasiti 101 liter, manakala ruang but belakang menawarkan ruang 470 liter.

Untuk prestasi, varian pelancaran Mercedes-Benz C400 4Matic hadir dengan dua motor elektrik menghasilkan 482 HP dan 800 Nm.

 

4

 

Dikuasakan dengan bateri 94.5 kWh, ia mampu mencapai jarak sehingga 762 km (WLTP), pecutan 0-100 kmj hanya sekitar 4.1 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 209 kmj.

Lebih mengagumkan, sistem pengecasan pantas DC sehingga 330 kW membolehkan tambahan jarak sejauh 325 km dalam masa hanya 10 minit. 

Mercedes juga merancang untuk memperkenalkan varian pacuan roda belakang (RWD) dengan jarak sehingga 800 km bagi mereka yang mahukan kecekapan maksimum.

 

5

 

Dari sudut pemanduan, C-Class Electric dilengkapi sistem stereng roda belakang sehingga 4.5 darjah untuk meningkatkan kelincahan dan kestabilan. 

Namun fokus utama model ini ialah keselesaan, Mercedes mendakwa ia “sehalus S-Class” ketika pemanduan jarak jauh. 

Ianya dicapai melalui suspensi udara adaptif dengan fungsi ramalan jalan menggunakan data masa nyata, serta penebatan bunyi yang dipertingkat termasuk cermin berlamina dan sistem HVAC yang lebih senyap.

 

6

 

C-Class Electric bukan sekadar langkah elektrifikasi, tetapi transformasi penuh kepada sedan premium moden yang menggabungkan prestasi, teknologi dan keselesaan tahap tertinggi. 

C-Class Electric dijangka mula memasuki pasaran global sekitar 2027, dengan lebih banyak varian bakal menyusul.