Model GT 63 generasi kedua ini berdiri sebagai flagship AMG yang sebenar, menggabungkan kuasa ekstrem dengan konfigurasi 2+2 tempat duduk.
Reka bentuk luaran menampilkan bonet panjang, cermin hadapan yang curam, garis bumbung rendah dan bahagian belakang yang lebar, memberi postur yang sangat atletik.
Ia turut digandingkan pula dengan rim tempa AMG bersaiz 21 inci, pakej karbon, lampu DIGITAL LIGHT dan spoiler belakang aktif.
GT 63 ini dinadikan dengan enjin 4.0L V8 biturbo AMG yang dibina sepenuhnya dengan tangan mengikut falsafah "One Man, One Engine" di Affalterbach. Hasilnya, enjin ini menghasilkan 585 hp dan 800 Nm tork, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 315 km/j.
Kuasa ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik AMG SPEEDSHIFT MCT 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda pintar AMG Performance 4MATIC+ yang mampu bertukar antara pacuan belakang dan semua roda secara lancar, bergantung pada keadaan jalan dan gaya pemanduan.
Reka bentuk aerodinamiknya bukan sekadar untuk rupa, sistem AIRPANEL dua peringkat dengan sirip kawalan udara aktif akan membuka hanya apabila diperlukan, mengurangkan rintangan dan meningkatkan penyejukan.
Malah, terdapat spoiler bawah badan dari karbon yang akan turun 40mm secara automatik pada kelajuan 80 km/j, menghasilkan kesan Venturi untuk lebih cengkaman dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Ciri pemanduan lain turut mengangkat tahap kendalian kereta ini ke tahap luar biasa dimana AMG ACTIVE RIDE CONTROL dengan penstabil elektromekanikal memberikan kestabilan tinggi di selekoh atau permukaan tidak rata, sambil mengekalkan keselesaan harian.
Sistem stereng gandar belakang pula membantu di selekoh tajam dan kelajuan tinggi dengan roda belakang berputar sama atau berlawanan arah dengan roda depan mengikut kelajuan semasa. Ini menghasilkan pemanduan yang lebih lincah, stabil dan mudah dikawal.
Di bahagian dalam, kabin penuh gaya ini mengetengahkan kokpit digital yang fokus kepada pemandu, dengan skrin infotainmen MBUX bersaiz 11.9 inci yang disepadukan dalam konsol tengah.
Ia menawarkan pelbagai paparan dan menu AMG Performance yang membolehkan pemandu melihat data seperti agihan tork, tekanan tayar, suhu bendalir, sudut stereng, malah tekanan minyak dalam sistem roll stabilisation aktif.
Paparan head-up tiga dimensi juga disediakan untuk memberikan maklumat kritikal tanpa mengalihkan pandangan dari jalan.
Kerusi AMG Performance yang direka secara ergonomik memberikan sokongan lateral terbaik untuk pemanduan agresif, sementara stereng rata di bawah dengan kemasan gentian karbon dan microfibre MICROCUT menawarkan cengkaman mantap dan estetik sporty.
Terdapat juga sensor sentuhan untuk sistem keselamatan aktif yang boleh mengesan jika pemandu tidak menyentuh stereng dalam tempoh tertentu.
Untuk brek pula, sistem brek komposit berprestasi tinggi AMG digunakan dengan cakera ringan bagi mengurangkan berat tak terampai. Sistem ini memberikan jarak membrek yang pendek dan kawalan yang sangat tepat, walaupun dalam keadaan ekstrem.
Model ini turut dilengkapi enam mod pemanduan menerusi AMG DYNAMIC SELECT—“Slippery”, “Comfort”, “Sport”, “Sport+”, “Individual”, dan “RACE”—yang masing-masing menyesuaikan tetapan enjin, transmisi, suspensi, dan stereng mengikut kehendak pemanduan.
Untuk pemilik yang suka memandu di litar, AMG TRACK PACE turut tersedia sebagai standard, membolehkan data pemanduan dirakam dan dianalisis seperti jentera lumba sebenar.
Dari segi keselamatan, barisan bantuan pemandu generasi baharu disediakan termasuk sistem bantuan brek kecemasan, pengelak lorong, kawalan kelajuan adaptif dan sistem bantuan tukar lorong.
Semua ini divisualkan dalam kluster meter digital melalui paparan bantuan animasi 3D masa nyata.
Akhir sekali, seperti model Mercedes moden lain, sistem infotainmen MBUX dihubungkan kepada Mercedes me connect, menawarkan akses kepada pelbagai fungsi pintar seperti integrasi Apple CarPlay dan Android Auto, maklumat trafik langsung, serta komunikasi Car-to-X antara kenderaan untuk mengesan bahaya di jalan hadapan.
Di Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 4MATIC+ Coupé dijual pada harga bermula dari RM1,882,888 (atas jalan tanpa insurans, termasuk cukai jualan 10%).