JPJ Hentikan Pertukaran Lesen Memandu Asing ke Lesen Malaysia Mulai 19 Mei

oleh Qalif Latif|
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) hari ini mengumumkan bahawa semua permohonan pertukaran lesen memandu asing kepada Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan dihentikan sepenuhnya berkuat kuasa 19 Mei 2025.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperketat pematuhan terhadap piawaian keselamatan jalan raya, di samping meningkatkan mutu tadbir urus perkhidmatan awam di bawah agenda Kerajaan MADANI.

Tiga kategori dikecualikan. Meskipun begitu, keputusan ini tidak terpakai kepada tiga kategori berikut: Individu di bawah kor diplomatik, Peserta program Malaysia My Second Home (MM2H) dan Warganegara Malaysia yang memperoleh lesen memandu asing sebelum memiliki LMM. Mereka dalam kategori ini masih dibenarkan memohon pertukaran lesen seperti biasa.

Bagi warga asing yang berada di Malaysia kurang daripada 12 bulan, JPJ menetapkan peraturan berdasarkan perjanjian antarabangsa: Warganegara dari negara yang menandatangani Konvensyen Geneva 1949 atau Vienna 1968 boleh menggunakan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) yang sah dari negara asal mereka dan Warganegara ASEAN pula dibenarkan memandu menggunakan lesen domestik negara asal, selaras dengan Perjanjian Pengiktirafan Lesen Memandu ASEAN 1985.

Menurut kenyataan media rasmi, penambahbaikan ini adalah selari dengan komitmen JPJ untuk memastikan hanya pemandu yang benar-benar memenuhi piawaian keselamatan dan latihan diberi kelulusan menggunakan jalan raya di negara ini.

Langkah ini dijangka mengurangkan risiko kemalangan akibat kurangnya pemahaman terhadap undang-undang jalan raya tempatan oleh pemandu asing yang sebelum ini hanya perlu menukar lesen tanpa ujian pemanduan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Apabila kemalangan seperti ini berlaku khususnya membabitkan bas awam, tindakan pertama kita ialah…
Berita Domestik
 "Kesukaran akan timbul apabila kenderaan digunakan untuk tujuan jenayah atau melanggar peraturan…
Berita Domestik
Pengarah JPJ negeri, Mohd Zamri Samion berkata Ops PEWA dijalankan selepas mendapat aduan orang…