
Livery istimewa itu diperkenalkan sempena tiga dekad sejak musim pertama Schumacher bersama Ferrari pada 1996, dengan rekaannya mengambil inspirasi daripada Ferrari F310 yang dipandunya ketika memulakan perjalanan bersama Scuderia.
SF-26 Lebih Merah Dengan Sentuhan Era Schumacher
Untuk perlumbaan di Monza, SF-26 akan menerima penampilan yang lebih didominasi warna merah apabila elemen putih pada bahagian engine cover dibuang.
Nombor perlumbaan Hamilton dan Leclerc pula menggunakan font retro, manakala tandatangan Schumacher diletakkan pada engine cover di antara nombor pemandu dan logo penaja utama HP.


Turut menarik perhatian ialah tujuh bintang putih yang sinonim dengan rekaan helmet Schumacher, kini diletakkan pada bahagian hidung SF-26.
Rim BBS pula menerima sentuhan warna emas, manakala Hamilton, Leclerc dan pasukan Ferrari di litar akan mengenakan pakaian khas sepanjang hujung minggu GP Itali.


Tiga Dekad Sejak Schumacher Mulakan Era Bersama Ferrari
Schumacher menyertai Ferrari pada 1996 selepas memenangi dua kejuaraan dunia bersama Benetton, sebelum membina salah satu era paling berjaya dalam sejarah Formula 1 bersama pasukan dari Maranello.
Sebagai sebahagian daripada penghormatan tersebut, Ferrari F310 dari musim 1996 akan dipamerkan sepanjang hujung minggu perlumbaan di Monza.
Ia akan dipamerkan bersama Ferrari 248 F1 yang menjadi jentera terakhir Schumacher bersama Ferrari pada 2006 dan F2002, antara jentera paling dominan dalam sejarah pasukan itu.
Barrichello Dan Vettel Pandu Ferrari F2002
Penghormatan kepada Schumacher bukan sekadar melalui livery SF-26.
Bekas rakan sepasukannya, Rubens Barrichello dan bekas pemandu Ferrari yang juga sahabat rapat Schumacher, Sebastian Vettel akan memandu Ferrari F2002 di Monza.
Barrichello dijadualkan memandu F2002 pada Sabtu, sebelum Vettel mengambil alih jentera berkenaan pada Ahad bagi melakukan lap penghormatan kepada Schumacher.
Menurut Ferrari, tempoh Schumacher bersama pasukan itu bukan hanya mengenai kemenangan dan kejuaraan dunia.
Usahanya mengejar kesempurnaan, perhatian terhadap setiap perincian, disiplin dan kemampuan bekerja sebagai pemain berpasukan membantu membentuk budaya yang kemudiannya menjadi antara identiti utama Scuderia.
Ferrari berkata, selepas tiga dekad, budaya tersebut masih menjadi sebahagian daripada pendekatan pasukan dalam perlumbaan dan Monza dianggap lokasi paling sesuai untuk meraikan legasi Schumacher.
Lima Kejuaraan Dunia Berturut-Turut Bersama Ferrari
Schumacher berlumba untuk Ferrari dari 1996 hingga 2006 dan melakukan 179 penampilan perlumbaan bersama pasukan itu.
Daripada tujuh kejuaraan dunia yang dimenanginya sepanjang karier Formula 1, lima diraih bersama Ferrari secara berturut-turut dari 2000 hingga 2004.
Sepanjang era kegemilangan Ferrari di bawah Jean Todt dan Ross Brawn, Schumacher mencatatkan 72 kemenangan dan 58 petak pertama bersama Scuderia.
Schumacher turut memenangi GP Itali sebanyak lima kali bersama Ferrari pada 1996, 1998, 2000, 2003 dan 2006, menjadikan Monza antara litar yang cukup sinonim dengan era kegemilangannya bersama pasukan itu.