Dari segi penampilan, J5 EV tampil dengan rekaan moden yang lebih minimalis berbanding versi petrol dimana ia merangkumi lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang LED, Smart Active Grille Shutter serta rim aloi aerodinamik bersaiz 18 inci.
SUV ini berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya ialah 2,620 mm. Selain kelegaan tanah setinggi 174 mm, ia juga mempunyai keupayaan meredah air sehingga 450 mm.
Menggerakkan J5 EV ialah motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan, sekali gus menghasilkan kuasa maksimum 211PS dan tork 288 Nm.
Kuasa itu membolehkan SUV pacuan roda hadapan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat.
Motor berkenaan menerima bekalan tenaga daripada bateri LFP berkapasiti 58.9 kWh keluaran CATL. Dengan sekali pengecasan, J5 EV mampu bergerak sejauh 402 km berdasarkan kitaran WLTP.
Bagi pengecasan, sistem AC 11 kW membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 100 peratus dalam tempoh sekitar tujuh jam. Sementara itu, pengecas pantas DC sehingga 130 kW pula boleh meningkatkan kapasiti bateri daripada 30 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 28 minit.
Bahagian kabin dilengkapi skrin sentuh tengah 2K bersaiz 13.2 inci, paparan instrumen digital lapan inci serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Turut disediakan ialah pengecas telefon tanpa wayar berventilasi 50 watt, sistem audio lapan pembesar suara dan kawalan pendingin hawa automatik dua zon.
Selain itu, tempat duduk hadapan menggunakan kemasan leatherette yang diperakui TÜV serta dilengkapi pelarasan elektrik dan fungsi pengudaraan.
Suasana kabin turut dipertingkatkan melalui sistem pencahayaan ambien pelbagai warna dan bumbung kaca panoramik seluas 1.45 meter persegi.
Dari segi praktikaliti, J5 EV menyediakan ruang penyimpanan hadapan atau frunk berkapasiti 35 liter dan ruang but belakang sebanyak 480 liter. Kapasiti muatan boleh ditingkatkan sehingga 1,284 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.
Antara ciri yang membezakan model ini ialah Pet Mode yang memastikan suhu kabin kekal selesa apabila haiwan peliharaan ditinggalkan sementara di dalam kenderaan. Paparan pada skrin juga akan memaklumkan orang di luar bahawa haiwan tersebut berada dalam keadaan selamat.
Turut ditawarkan ialah Camping Mode dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) berkuasa sehingga 3.3 kW. Sistem ini membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik yang serasi ketika berkhemah atau melakukan aktiviti luar.
J5 EV juga dilengkapi fungsi karaoke dalam kereta, kamera panoramik HD 540 darjah, enam beg udara serta 19 ciri bantuan pemanduan ADAS Tahap 2+.
Pakej ADAS itu merangkumi Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Detection, Lane Keeping Assist, Rear Cross-Traffic Alert, Door Opening Warning dan Traffic Jam Assist.
Struktur badan J5 EV pula memiliki tahap ketegaran kilasan 35,900 Nm/darjah, yang membantu meningkatkan kekukuhan casis serta perlindungan pasif kepada penumpang.
Untuk pasaran Malaysia, SUV elektrik ini tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Alpine Green, Fjord Grey dan Carbon Crystal Black.
Setiap pembelian disertakan waranti kenderaan selama tujuh tahun atau 150,000 km serta waranti bateri voltan tinggi selama 10 tahun atau 200,000 km.
Bagi 1,000 penyerahan pertama, pelanggan akan menerima pakej pelancaran bernilai RM10,000. Ia merangkumi insurans percuma selama setahun, sambungan data selama tiga tahun, pengecas rumah JAECOO 7 kW, penyambung V2L serta aksesori seperti subwoofer, set karaoke dan lampu suluh.
Sebagai tambahan, pelanggan terawal turut menerima kredit pengecasan tanpa had selama setahun melalui rangkaian JomCharge yang merangkumi lebih 1,353 stesen pengecasan di seluruh negara.
Penyerahan kumpulan pertama JAECOO J5 EV kepada pelanggan dijadualkan bermula pada 31 Oktober 2026.