Isuzu D-MAX 2.2L 2026 kini ditawarkan di Malaysia - dari RM103,121

oleh Firdaus Razani|
Dalam pasaran trak pikap di Malaysia, Isuzu D-MAX telah lama dikenali sebagai sebuah model yang menawarkan keseimbangan antara ketahanan, kecekapan bahan api serta kos pemilikan yang munasabah, menjadikannya pilihan utama dalam kalangan pengguna harian mahupun komersial.

Namun begitu, jika dilihat dengan lebih mendalam, barisan enjin yang ditawarkan sebelum ini sebenarnya meninggalkan satu jurang yang agak ketara, khususnya dari sudut keseimbangan antara prestasi dan kecekapan.

Enjin 2.2L, dibangunkan semula dengan pendekatan lebih menyeluruh

Bagi menjawab keperluan tersebut, Isuzu memperkenalkan enjin diesel 2.2 liter turbocas serba baharu untuk barisan D-MAX 2026, yang bukan sekadar penambahan kapasiti daripada enjin 1.9 liter sedia ada, tetapi merupakan hasil pembangunan semula secara menyeluruh dari peringkat asas.

Ini termasuklah reka bentuk baharu pada blok enjin yang lebih kukuh, cylinder head dengan aliran penyejukan yang lebih efisien, serta penggunaan komponen dalaman seperti crankshaft, piston dan connecting rod yang direka semula bagi meningkatkan kecekapan pembakaran serta ketahanan jangka panjang.

 

isuzu

 

Dalam masa yang sama, sistem suntikan bahan api turut dipertingkatkan kepada tekanan lebih tinggi, manakala turbo baharu yang menggunakan Electronic Variable Geometry System (E-VGS) membolehkan kawalan aliran udara dilakukan dengan lebih tepat, sekali gus memberikan respon enjin yang lebih pantas pada rpm rendah dan kestabilan yang lebih baik pada rpm tinggi.

Hasil daripada keseluruhan pendekatan ini, enjin berkapasiti 2,164 cc tersebut bukan sahaja lebih berkuasa, malah lebih halus dan efisien dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Prestasi yang lebih relevan dalam penggunaan sebenar

Dari sudut prestasi, enjin baharu ini menghasilkan 163 PS dan 400 Nm, iaitu peningkatan masing-masing sebanyak 8.7 peratus dan 14.3 perauts berbanding enjin 1.9 liter sebelum ini, namun angka semata-mata tidak menggambarkan keseluruhan pengalaman pemanduan yang ditawarkan.

 

isuzu

 

Apa yang lebih signifikan ialah bagaimana kuasa tersebut disampaikan, di mana lebih separuh daripada tork maksimum sudah tersedia seawal 1,000 rpm, manakala tork penuh dicapai lebih awal sekitar 1,600 rpm, sekali gus memberikan respon yang lebih spontan ketika memulakan pergerakan, membawa muatan atau memecut keluar dari selekoh.

Dalam erti kata lain, enjin ini menawarkan kuasa yang lebih “usable” dalam situasi dunia sebenar, menjadikannya lebih praktikal dan mudah dikendalikan berbanding sebelum ini.

Refinement dipertingkat, pemanduan lebih matang

Selain prestasi, aspek refinement turut diberi perhatian serius, dengan peningkatan ketara dari segi tahap bunyi, getaran dan kekasaran (NVH), yang kini menjadikan enjin ini lebih senyap dan selesa untuk dipandu dalam tempoh yang lebih lama.

 

isuzu

 

Gabungan enjin baharu ini dengan transmisi automatik lapan-kelajuan turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti pemanduan, di mana nisbah gear yang lebih rapat membantu memastikan penghantaran kuasa lebih lancar, sementara gear ketujuh dan kelapan bertindak sebagai overdrive untuk memberikan pengalaman pemanduan lebuh raya yang lebih tenang dan menjimatkan bahan api.

Lebih bersih tanpa menjejaskan prestasi

Dalam masa yang sama, Isuzu turut memberi penekanan terhadap aspek kelestarian, dengan penggunaan sistem kawalan emisi moden seperti EGR, Diesel Oxidation Catalyst (DOC) dan Diesel Particulate Diffuser (DPD), yang mampu mengurangkan pelepasan gas berbahaya secara signifikan.

Hasilnya, D-MAX 2.2L kini memenuhi piawaian Euro 5, sekali gus menjadikannya antara trak pikap paling bersih dalam kelasnya tanpa perlu mengorbankan prestasi.

 

isuzu

 

Single Cab automatik: langkah praktikal untuk pengguna sebenar

Satu lagi pembaharuan yang wajar diberi perhatian ialah pengenalan varian Single Cab automatik pertama di Malaysia, yang secara langsung memberikan kemudahan kepada pengguna komersial yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada transmisi manual.

Dalam konteks penggunaan harian di kawasan bandar yang semakin sesak, ciri ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pemanduan, malah membantu mengurangkan keletihan, sekali gus meningkatkan produktiviti.

 

isuzu

 

Rekaan diperhalusi, ciri dipertingkat secara menyeluruh

Dari segi penampilan, D-MAX 2026 menerima beberapa kemas kini yang memberi sentuhan lebih moden tanpa mengubah identiti asalnya, termasuk gril hadapan baharu, rekaan lampu yang dikemas kini serta penggunaan rim dan lampu belakang LED dengan grafik lebih segar.

Pilihan warna baharu seperti Inishmore Green Metallic dan Obsidian Gray Mica turut ditawarkan bagi menambah variasi kepada pengguna, manakala bahagian dalaman pula dipertingkat dengan sistem infotainmen 10 inci untuk varian terpilih, bersama kemasan tempat duduk dan panel dalaman yang lebih berkualiti.

Selain itu, ciri seperti Tailgate Assist dan Rough Terrain Mode kini diperluas penggunaannya, menjadikan trak ini lebih praktikal untuk kegunaan harian mahupun situasi off-road.

 

isuzu

 

Kos pemilikan: titik tengah yang lebih realistik

Dari sudut kos pemilikan, enjin 2.2 liter ini berada di kedudukan yang cukup strategik, khususnya apabila melihat kepada kadar cukai jalan.

Sebagai perbandingan, enjin 1.9L dikenakan sekitar RM400 setahun, manakala enjin 2.2L berada pada sekitar RM571 setahun, dan varian 3.0L pula mencecah sehingga RM1,640 setahun.

Perbezaan antara 1.9L dan 2.2L hanyalah sekitar RM170 setahun, iaitu satu peningkatan kos yang masih munasabah jika dibandingkan dengan peningkatan prestasi dan keupayaan yang ditawarkan, terutamanya apabila jurang dengan varian 3.0L adalah jauh lebih besar.

Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan 2.2L sebagai pilihan paling seimbang bagi pengguna yang mahukan peningkatan kuasa tanpa perlu menanggung kos pemilikan yang tinggi.

 

isuzu

 

Harga dan jaminan

Dari segi harga, Isuzu D-MAX 2026 dengan enjin 2.2 liter ditawarkan bermula dari RM103,121 di Semenanjung Malaysia bagi varian Single Cab manual, manakala varian Premium 4x4 pula dijual pada harga RM141,821.

Bagi pasaran Sabah dan Sarawak, harga masing-masing sedikit berbeza, dengan varian Single Cab bermula sekitar RM105,200, sementara varian Premium 4x4 mencecah kira-kira RM144,800.

Sebagai tambahan, semua model D-MAX 2.2 liter dan 3.0 liter didatangkan dengan pakej servis percuma sehingga 20,000 km atau dua tahun, serta jaminan selama lima tahun atau 150,000 km.

Khusus untuk varian X-Terrain, ia diberikan jaminan lebih panjang iaitu tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Isuzu turut mengesahkan bahawa barisan D-MAX 2026 ini sudah mula berada di semua bilik pameran rasmi di seluruh negara bermula hari ini.

 

isuzu