iCaur 03 rasmi di Malaysia – SUV elektrik off-road, dua varian, dari RM119,800

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Selepas beberapa teaser dan pelancaran pusat pamerannya, satu lagi jenama di bawah Chery, iCaur telah melancarkan model pertamanya iaitu iCaur 03 untuk pasaran Malaysia.

SUV elektrik ini ditawarkan dalam dua varian, iaitu pacuan roda belakang (2WD) dan pacuan semua roda (AWD), masing-masing dengan karekter tersendiri.

Untuk versi 2WD, iCaur 03 menggunakan motor elektrik tunggal di belakang dengan output 184 PS dan 220 Nm, dimana ia dikuasakan bateri LFP 65.7 kWj yang mampu memberi jarak sekitar 355–362 km mengikut kitaran WLTP. 

 

2
Edisi Terhad Black Phantom

 

Bagi yang mahukan lebih kuasa, varian iWD pula hadir dengan konfigurasi dwi-motor yang menjana 279 PS dan 385 Nm, cukup untuk catat 0-100 km/j dalam 6.5 saat. 

Varian ini juga dibekalkan bateri lebih besar, 69.8 kWj, dengan jarak sekitar 342–355 km.

Kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW dengan kemampuan mengecas dari 30-80 peratus dalam masa 30 minit, ia turut didatangkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

 

3

 

Dari segi saiz, iCaur 03 tampil dengan rekaan kotak yang gagah dengan dimensi panjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm dan tinggi 1,715 mm, dengan jarak roda 2,715 mm.

Varian 2WD dipadankan rim 18 inci manakala iWD mendapat rim 19 inci yang lebih garang, dimana kedua-duanya menonjolkan identiti off-road moden yang jarang ada pada EV lain di pasaran tempatan.

Bahagian luaran iCaur 03 sememangnya mencuri perhatian, dengan garis badannya serba tegap bersama profil petak, seakan memberi bayangan SUV klasik tetapi dibalut dengan bahasa rekaan futuristik. 

 

4

 

Di depan, gril tertutup bersama lampu LED nipis yang bersambung penuh lebar memberikan wajah moden dan agresif, sementara bumper pula direka dengan bentuk berlapis, lengkap dengan skid plate gaya off-road. 

Dari sisi, perincian arca roda yang tebal dan roofline rata menambah imej maskulin, manakala di belakang lampu LED berbentuk bar mendatar memberi sentuhan kontemporari. 

Rupa futuristik diteruskan pada bahagian dalam, dimana ia dilengkapi panel instrumen 9.2 inci dipadankan dengan skrin infotainmen 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. 

 

6

 

Untuk hiburan, varian iWD dilengkapi sistem audio Infinity bersama 12 pembesar suara, manakala versi 2WD menggunakan sistem lapan pembesar suara standard. 

Dari segi praktikaliti, iCaur 03 hadir dengan ruang kargo 450 liter, dan boleh diperluas sehingga 1,238 liter apabila kerusi belakang dilipat, ia turut memiliki kargo tambahan 40 liter, yang ditempatkan pada pintu belakang.

Turut ditawarkan ciri ADAS tahap 2.5 dengan fungsi seperti lane keep assist, adaptive cruise control dan traffic jam assist serta sistem kamera 540 darjah untuk pandangan sekeliling lebih jelas.

 

7

 

Dari segi keselamatan, iCaur 03 didatangkan dengan enam beg udara, struktur badan monocoque aluminium, serta perlindungan bateri IPX8. 

Harga bagi iCaur 03 ditawarkan bermula dari RM119,800 untuk varian 2WD dan RM129,800 untuk varian iWD.

Sementara edisi Black Phantom dengan kit badan eksklusif, kemasan hitam kusam, rak bumbung dan tangga sisi pada harga tambahan RM20,000, terhad 100 unit.

 

7

 

Dari segi sokongan selepas jualan, iCaur Malaysia menawarkan pakej yang agak menyeluruh di mana setiap pembelian hadir dengan waranti kenderaan 7 tahun atau 150,000 km, serta waranti bateri dan unit pacuan 8 tahun atau 160,000 km. 

Pelanggan juga boleh memanfaatkan Program Insurans iCARE yang dibangunkan bersama Allianz, Berjaya Sompo, AIG, Etiqa, Zurich dan Zurich Takaful, meliputi perlindungan tambahan untuk wallbox, kabel pengecas mudah alih serta khidmat tunda tanpa had. 

Menariknya juga, iCaur turut memberi jaminan penggantian bateri 1-to-1 sekiranya tahap kesihatan bateri jatuh di bawah 70 peratus.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pencapaian itu turut disokong oleh prestasi model iCAUR V23 yang muncul sebagai EV bukan nasional…
Kereta
Jenama iCAUR dan Pengenalan di Malaysia iCAUR merupakan jenama di bawah Chery yang memfokuskan…
Pelancaran
Rekaan Retro Moden, Sifat Lasak Pertama kali dipertontonkan kepada umum di Malaysia Autoshow 2025…