Berbeza dengan beberapa pesaing yang memilih reka bentuk Hypercar eksklusif, McLaren memilih jalan strategik dengan membina jentera mengikut spesifikasi Le Mans Daytona h (LMDh).
Empat pilihan casis tersedia, dan McLaren memilih casis dari Dallara, syarikat yang turut membekalkan platform untuk Cadillac V-Series.R dan BMW M Hybrid V8.
Kuasa jentera ini pula datang dari enjin V6 turbo berkembar yang dibangunkan secara dalaman oleh McLaren Technology dan McLaren Automotive.
Difahamkan, konfigurasi enjin ini adalah adaptasi daripada enjin supercar Artura yang sedia ada, kombinasi yang dijangka membawa kecekapan dan prestasi dinamik dalam perlumbaan ketahanan.
Walaupun telah lama dijangka, kini sah bahawa pasukan yang bakal mengendalikan jentera ini ialah United Autosports, yang dimiliki bersama oleh Richard Dean dan Zak Brown, CEO McLaren Racing. Pasukan ini akan dikenali secara rasmi sebagai McLaren United AS.
Hubungan ini bukan sesuatu yang baharu, sejak penyertaan McLaren 720S dalam kelas LMGT3 pada tahun lalu, ramai sudah menjangka langkah lebih besar sedang dirancang.
Tetapi yang pasti, United Autosports sememangnya layak ke tahap ini dengan rekod dua kemenangan di Le Mans dalam kategori LMP2 (2020 & 2024), kejuaraan WEC dan ELMS pada 2020, serta kejayaan dalam Asian Le Mans Series dan Daytona 24 Jam.
Dengan segala pencapaian itu, penyertaan dalam kelas utama hanya menunggu masa, dan kini ia akan menjadi kenyataan.
Menguatkan lagi struktur pasukan, McLaren melantik James Barclay sebagai pengarah pasukan bermula September ini. Barclay sebelum ini mengetuai Jaguar TCS Racing dalam Formula E, dan mempunyai pengalaman luas membina pasukan dari awal sejak 2016.
Ketika bersama Jaguar, Barclay memimpin pasukan ke 18 kemenangan, 47 podium dan 12 petak utama, termasuk kejuaraan pasukan dan pengeluar pada musim 2024. Beliau juga pernah terlibat dalam program Bentley di Le Mans dan aktif dalam dunia perlumbaan sebagai pemandu amatur.
McLaren sebelum ini mengejutkan dunia apabila muncul juara keseluruhan Le Mans 1995 dengan jentera F1 GTR, pada cubaan pertama.
Selepas 30 tahun, impian untuk mengulangi pencapaian itu kini mula digilap semula, dengan pendekatan moden dan barisan tenaga kerja yang berkaliber.
Dengan kombinasi casis terbukti, enjin prestasi tinggi, pasukan teknikal berpengalaman dan pengurusan strategik, McLaren bersedia untuk kembali mencabar dominasi jenama-jenama besar dalam dunia perlumbaan ketahanan. Le Mans 2026 mungkin menjadi permulaan kepada bab baharu dalam legasi McLaren di pentas global.