

Harga Lebih Rendah, Ciri Lebih Menarik
Dengan tanda harga RM 269,800, GWM Wey G9 diletakkan jauh lebih rendah berbanding Alphard dan Vellfire generasi baharu. Malah jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti GAC M8 PHEV yang bermula sekitar RM 330,000, model ini masih berada dalam posisi tersendiri. Kia Carnival pula masih menggunakan enjin diesel, sesuatu yang mungkin bukan lagi pilihan utama bagi sesetengah pembeli.
Sistem Plug-in Hybrid Jadi Kelebihan Utama
G9 dipacu sistem plug-in hybrid Hi4 yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik dan bateri berkapasiti besar. Gabungan ini membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 170 km (claimed), manakala jarak keseluruhan melebihi 1,000 km.

Dalam penggunaan bandar, G9 mampu bergerak seperti EV sepenuhnya. Pemanduan terasa senyap, lancar dan mudah dikawal, menjadikannya sangat sesuai sebagai MPV keluarga atau pengangkutan eksekutif. Dalam trafik sesak atau perjalanan harian, keupayaan bergerak tanpa menggunakan petrol menjadi satu kelebihan praktikal.


Pemanduan Lebuh Raya Lebih Santai
Berdasarkan pengalaman pemanduan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan kembali semula, karakter G9 lebih menjurus kepada keselesaan berbanding prestasi agresif. Stereng ringan, respon santai dan pemanduan lebuh raya terasa tenang walaupun saiz badannya besar. Suspensi pula ditala lembut untuk memberi keselesaan maksimum kepada penumpang.


Kabin Premium Dengan Teknologi Moden
Masuk ke ruang kabin, G9 menawarkan rekaan moden dengan skrin infotainmen besar serta sistem kawalan suara yang responsif. Antara ciri menarik termasuk peti sejuk/pemanas terbina dalam dengan rekaan dua tingkat dan bukaan dua arah, memudahkan akses dari bahagian depan atau belakang.


Turut tersedia ruang simpanan telefon dengan laluan kabel yang kemas ke port pengecasan, satu perincian kecil tetapi berguna dalam penggunaan harian.

Barisan Kedua Jadi Tarikan Utama
Seperti MPV mewah lain, tempat duduk barisan kedua menjadi fokus utama. Ia hadir dengan fungsi recline, urutan, meja lipat serta sistem penyejuk dan pemanas. Suasana keseluruhan lebih mirip lounge bergerak, sesuai untuk pengguna yang mengutamakan keselesaan penumpang belakang.





Masih Ada Ruang Penambahbaikan
Walaupun menawarkan banyak kelebihan, masih ada beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan. Kualiti sesetengah material kabin dikatakan belum benar-benar setanding imej premium yang cuba dibawakan. Selain itu, ruang letak botol air untuk penumpang belakang juga agak terhad.
Secara keseluruhan, GWM Wey G9 muncul sebagai alternatif serius dalam segmen MPV mewah Malaysia. Ia mungkin belum menandingi sepenuhnya tahap refinement pesaing Jepun, namun kombinasi harga, teknologi plug-in hybrid, keselesaan dan ciri moden menjadikannya pakej yang sukar diabaikan. Pada harga bermula RM269,800, G9 jelas membuka pilihan baharu kepada pembeli tempatan.