Kehadiran Freelander 8 menandakan kelahiran semula nama Freelander sebagai jenama sendiri yang memfokuskan kepada kenderaan tenaga baharu (NEV), termasuk plug-in hybrid, EV dan juga range-extender EV.
Dari segi rekaan, Freelander 8 tampil dengan gaya SUV berkotak yang mengingatkan kepada model asal, elemen seperti pillar belakang dengan tingkap segi tiga dan lampu hadapan berbentuk petak memberi sentuhan retro moden.
Saiznya juga bukan kecil, dengan panjang sekitar 5.1 meter, ia berada di antara Land Rover Defender 110 dan Land Rover Defender 130.
Bagaimanapun, ketiadaan tayar simpanan di belakang mungkin sedikit mengecewakan peminat off-road yang mengharapkan sentuhan klasik seperti model Freelander lama.
Versi produksi itu mengekalkan banyak elemen daripada Concept 97, tetapi dengan beberapa perubahan praktikal seperti penggunaan pintu konvensional dengan B-pillar dan pemegang pintu separa tertutup (semi-enclosed) bagi mematuhi regulasi baharu di China.
Perubahan pemegang pintu itu juga dapat dilihat pada model seperti BMW iX3 dan BMW i3 versi jarak roda panjang yang turut diperkenalkan di acara sama.
Bahagian depan menggunakan gril tertutup, ciri tipikal EV dengan tulisan “Freelander” yang diukir kemas, manakala unit LiDAR di atas bumbung menunjukkan kehadiran sistem bantuan pemandu canggih yang semakin biasa dalam pasaran China.
Freelander 8 dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan pintar Huawei ADS 5 yang digandingkan bersama LiDAR 896-line berketepatan tinggi.
Kombinasi itu membolehkan Freelander 8 membaca persekitaran dengan lebih mendalam, termasuk objek, jarak dan keadaan jalan secara masa nyata.
Lebih menarik, ia turut dipadankan dengan sistem i-ATS intelligent all-terrain system yang mengintegrasikan data daripada LiDAR dan kamera binokular untuk mengenal pasti jenis permukaan jalan serta merancang strategi pemanduan secara automatik.
Sistem tersebut direka untuk menyokong pelbagai situasi pemanduan, daripada jalan bandar hingga ke laluan off-road dengan kawalan adaptif yang lebih pintar.
Dari segi teknikal, Freelander 8 akan ditawarkan dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk, menggunakan bateri daripada CATL yang dilengkapi prestasi pengecasan 6C dan menyokong sehingga 350 kW.
Ia juga dijangka dilengkapi suspensi udara serta differential elektronik (e-LSD) di belakang untuk meningkatkan prestasi dan kawalan.
Walaupun bahagian dalaman belum didedahkan sepenuhnya, versi konsep sebelum ini menampilkan skrin penuh dari hujung ke hujung serta sistem infotainmen moden.
Menariknya, Freelander 8 bukan hanya untuk pasaran China, JLR dan Chery merancang untuk memperluaskan penawaran ke pasaran global termasuk negara pemanduan sebelah kanan termasuk Malaysia.
Model itu hanyalah permulaan bagi kemunculan semula Freelander, dengan lima lagi model SUV dijangka menyusul dalam tempoh lima tahun akan datang, menunjukkan strategi agresif jenama kerjasama baharu itu dalam segmen SUV elektrifikasi.