Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel - persis Rosyam Nor!

oleh Firdaus Razani|
Peneraju trak pikap modern, Ford akhirnya melancarkan varian terkini untuk Ranger, Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel.

Hadir dengan enjin 3.0 liter V6 diesel dengan unit turbo tunggal, ia menghasilkan 250 PS dan 600 Nm, menjadikan ia trak pikap paling berkuasa di dalam kategori diesel.

 

ranger

 

Transmisi kekal 10 kelajuan automatik, dengan "locking differential" untuk gandar belakang dan enam mod pemanduan serta empat mod trenkuasa.

Enam mod pemanduan tersebut ialah Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand sementara mod trenkuasa ialah 2H, 4H, 4L dan 4A, pertama kali diperkenalkan untuk varian Ford Ranger WildTrak dengan enjin 3.0L V6 Turbo Diesel.

 

ranger

 

Ford Ranger WildTrak V6 baharu ini juga dibekalkan dengan transmisi E-Shifter yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Ranger Platinum, StormTrak dan Raptor.

E-Shifter bermaksud tombol gear itu tidak disambung secara fizikal ke kotak gear, tetapi melalui hantaran isyarat elektronik

Antara kelebihan sistem elektronik ini ialah sistem gear boleh dikawal oleh Intelligent Park Assist dan juga dari segi keselamatan, gear akan "dikunci" sekiranya kunci tidak dikesan berada di dalam kenderaan.

 

ranger

 

Dari segi fungsi untuk tugasan harian, Ford Ranger WildTrak V6 ini mampu mengangkat beban seberat satu tan dan mempunyai had tunda (towing rate) sehingga 3.5 tan.

Sistem gantungan kekal sama (double wishbone di depan dan pegas daun di belakang) sementara sistem brek pula ialah cakera untuk keempat-empat roda.

Roda aloi dua tona 20-inci dibalut dengan tayar GoodYear Wrangler Territory HT bersaiz 255/55 R20, termasuk tayar gentian saiz penuh.

 

ranger

 

Lencana V6 tertera di kiri dan kanan fender sementara pelekat dengan logo V6 turut diberikan pada pintu hadapan, memastikan rakan-rakan dari kelab Ranger anda tahu, ini bukan Ford Ranger WildTrak biasa-biasa.

 

ranger

 

Bahagian kabin, skrin utama 12-inci dengan arahan suara SYNC® 4A dan susun atur potret mempunyai fungsi Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar serta pengecas nirwayar dan lima port USB.

 

ranger

 

Bahagian tempat duduk belakang turut dibekalkan dengan soket tiga-pin 230-volt/400 Watt- yang juga dipasang di bahagian kargo.

Untuk pemandu, skrin TFT berwarna bersaiz 8-inci dengan grafik dan animasi menarik disertakan.

 

ranger

 

Kedua-dua tempat duduk hadapan dikawal secara elektrik dan keseluruhan kabin mengekalkan ciri-ciri tradisional Ford Ranger WildTrak - balutan kulit dan fabrik hitam disulam dengan benang berwarna jingga.

 

ranger

 

Sistem keselamatan pasif termasuk Sistem Maklumat Titik Buta, Amaran Keluar Lorong dengan Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif dengan Fungsi Henti-dan-Jalan serta Penstabil Lorong, Amaran Trafik Lintas Belakang dan Sistem Brek Pasca-Perlanggaran.

Ford Ranger WildTrak V6 ini ditawarkan dalam beberapa warna seperti Kuning Luxe, Kelabu Meteor, Hitam Absolute dan Putih Arctic.

Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel serba baharu ini boleh didapati di seluruh negara pada harga daripada RM192,888 (di atas jalan raya tanpa insurans) di Semenanjung Malaysia, RM198,688 di Sabah, dan Sarawak.

 

ranger

 

Sempena kempen pelancaran, Ford memberikan pakej servis lanjutan 2-Tahun dan beg pendingin edisi terhad. Di samping itu, pelanggan yang membuat tempahan dalam talian akan menerima kerusi perkhemahan eksklusif Ford.

Penulis mengambil masa hanya lima minit sebelum jatuh cinta tahap serius dengan Ranger terbaharu ini.

Bermula dengan enjin yang senyap tanpa bunyi bising diesel, kemudian dengan cara ia mengambil laluan mendaki ketika keluar kawasan parkir dengan daya kilas yang mantap, ia adalah Ranger yang paling sedap dipandu.

 

ranger

 

Bila masa Ford Ranger Raptor dengan enjin 3.0L V6 petrol turbo memberikan tindakbalas yang garang dan agresif seperti Zul Ariffin, enjin diesel V6 ini pula memilih cara yang lebih matang tanpa perlu berlagak "macho", mirip Rosyam Nor.

Uji pandu Careta kali ini melalui perjalanan sejauh lebih dari 1,400 km, mengharungi laluan lebuhraya, jalan persekutuan dan sedikit offroad.

 

ranger

 

Di atas lebuhraya dan jalan persekutuan, ternyata karektor Ford Ranger yang disukai ramai kekal wujud. Ia stabil, tegap dan selesa - jauh lebih baik dari sebuah sedan dengan harga yang hampir sama.

Tidak seperti sedan, Ford Ranger tidak mempunyai sebarang masalah untuk meredah laluan offroad atau melanda lubang-lubang dan tampalan tar kasar hasil kerja seni kontraktor PBT dan JKR.

 

ranger

 

Di sebelah malam, lampu Bi-LED dengan sistem matriks cukup membantu, memberikan keyakinan untuk penulis memandu sejauh 600 km dari pagi sampai ke malam.

 

ranger

 

Enjin yang senyap menjadikan kabin lebih selesa, tanpa sebarang gegaran. Sistem audio juga jauh lebih merdu kerana tidak perlu "bergaduh" dengan bunyi "ketak-ketak" dari enjin diesel biasa.

 

ranger

 

Cukup sukar untuk menidakkan kebagusan pikap Ford Ranger WildTrak V6 ini dan harga yang ditawarkan pula berbaloi dengan kelengkapan yang diberikan.

Mungkin ini ialah trak pikap terbaik untuk tahun 2025, dan ia menyukarkan lagi jenama-jenama lain untuk mengejar prestasi Ford Ranger.

 

ranger

 

Amaran jika anda berhasrat untuk memandu uji Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 turbo diesel ini, anda mungkin akan mula berfikir apakah alasan untuk diberikan kepada si isteri untuk membelinya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ford Ranger WildTrak 3.0L V6 Turbo Diesel baharu ini, layari laman sesawang berikut;https://ford.simemotors.my/models/pickup-trucks/next-gen-ranger-wildtrak