Ferrari musnah terbakar selepas hilang kawalan

oleh Firdaus Razani|
Jurutera teknologi maklumat dari Singapura bersama teman wanita terselamat walaupun kereta mewah jenis Ferrari terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 110 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Jambatan Kampung Gadak, Muadzam Shah, Rompin hari ini.(16 Mei).
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kejadian pada 10.45 pagi, kereta Ferrari 458 Spider itu dipandu lelaki berusia 34 tahun, dalam perjalanan ke Cherating secara konvoi membabitkan 13 kereta jenama sama pelbagai model.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar penghadang jalan.

"Akibat kemalangan itu, kereta mewah itu terbakar dan musnah keseluruhannya. Bagaimanapun, mangsa dan teman wanitanya sempat menyelamat diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit disaman mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

 

SUMBER : HarianMetro