Feri Pulau Pinang bertembung kapal, beberapa penumpang cedera

oleh Penyumbang Rencana|
Sebuah feri Pulau Pinang yang dalam perjalanan dari bahagian pulau ke tanah besar dilaporkan bertembung dengan sebuah kapal lain pada Selasa malam.

Memetik daripada The Star, kejadian berlaku kira-kira jam 8.35 malam ketika feri berkenaan dalam perjalanan menuju Butterworth.

Menurut seorang penumpang yang enggan dikenali, feri tersebut berlepas dari bahagian pulau kira-kira jam 8.30 malam sebelum berlaku pelanggaran beberapa minit kemudian.

“Berlaku hentaman agak kuat menyebabkan beberapa motosikal yang berada di atas feri tumbang.

“Beberapa penumpang turut mengalami kecederaan ringan namun feri meneruskan perjalanan ke tanah besar,” katanya kepada The Star.

Dia menambah, sebaik tiba di Butterworth, feri berkenaan berpatah balik dan menggunakan laluan belakang bagi membolehkan penumpang keluar.

Katanya, pasukan polis dan ambulans turut berada di lokasi selepas feri tiba di tanah besar.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian melibatkan Feri Teluk Bahang yang bertembung dengan sebuah kapal di perairan berhampiran Terminal Feri Penang Sentral, Butterworth.

Menurutnya, dalam kejadian itu, seramai 92 penumpang terlibat dengan enam daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan.

“Enam mangsa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans Penang Port serta ambulans agensi luar.

"Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth menerima panggilan kecemasan pada jam 9.58 malam sebelum tiba di lokasi pada jam 10.07 malam," katanya.

Sementara itu, keadaan di terminal dilaporkan tenang dan terkawal selepas kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala penumpang lain telah bersurai.

tumbang
Beberapa motosikal yang berada di atas feri tumbang - foto TheStar

TheStar

Berita Berkenaan

Informasi
"Inisiatif ini manifestasi komitmen berterusan SPPP dan PPSB dalam memudahkan perjalanan rakyat…
Berita Domestik
"Apabila keputusan dibuat sebelum ini untuk beralih kepada feri baharu, terminal juga telah diubah…
Informasi
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin, berkata tambang percuma itu membabitkan perjalanan kedua-dua…