Jenama iCAUR dan Pengenalan di Malaysia
iCAUR merupakan jenama di bawah Chery yang memfokuskan kepada segmen EV SUV. Model 03 adalah model pertama iCAUR untuk pasaran Malaysia. Ia diperkenalkan secara rasmi kepada umum sempena Malaysia Autoshow 2025 sebelum dilancarkan secara rasmi pada bulan September tahun yang sama.
Rekaan EV Yang Lawan Arus Pasaran
Kebanyakan EV moden dibina di atas platform skateboard dengan bateri diletakkan rata di bawah lantai. Disebabkan itu, reka bentuk EV biasanya cenderung rendah, licin dan sangat aerodinamik. Hasilnya, banyak EV kelihatan hampir sama dan lebih sesuai untuk kegunaan bandar atau pemanduan harian.
iCAUR 03 pula memilih pendekatan berbeza. Walaupun ia sebuah EV, reka bentuk badannya berbentuk kotak dengan posisi lebih tegak. Rekaan seperti ini jarang digunakan dalam dunia EV kerana kurang menekankan aerodinamik, namun ia sengaja dipilih untuk memberikan identiti SUV yang lebih rugged dan lasak. Dari segi visual, iCAUR 03 lebih membawa vibe ala Jimny atau Land Rover Defender berbanding EV bandar biasa.

Rekaan Boxy Futuristik
iCAUR 03 tampil dengan rekaan berbentuk kotak yang kemas dan konsisten dari hadapan hingga ke belakang. Garisan badan yang tegak, permukaan rata serta proporsi badan yang seimbang memberikan imej futuristik tanpa kelihatan terlalu ekstrem. Rekaan ini berjaya menggabungkan elemen moden EV dengan karakter SUV yang tegas dan berani.


Faktor Wow Pada Reka Bentuk
Dari sudut visual, iCAUR 03 memang memiliki faktor wow yang kuat. Rekaannya mudah menarik perhatian kerana ia tidak mengikut acuan EV biasa yang licin dan serba aerodinamik. Sama ada dilihat dari hadapan, sisi atau belakang, iCAUR 03 jelas menonjol sebagai EV yang tampil lain, sesuai untuk pembeli yang mahukan kenderaan elektrik dengan identiti dan personaliti tersendiri.

Varian Ditawarkan di Malaysia
Untuk pasaran Malaysia, iCAUR 03 ditawarkan dalam dua varian iaitu 2WD dan IWD. Varian IWD merupakan spesifikasi tertinggi dengan sistem pacuan semua roda serta prestasi yang lebih menonjol.
Rekaan Hadapan
Bahagian hadapan iCAUR 03 menampilkan rupa kotak yang jelas dan tidak mengikut trend SUV EV aerodinamik. Lampu DRL dan lampu isyarat direka secara menegak, dipadankan dengan lampu LED nipis tanpa kehadiran fog lamp. Logo i di bahagian hadapan juga boleh menyala apabila lampu utama dihidupkan.

Rekaan Sisi
Di bahagian sisi, identiti SUV iCAUR lebih terserlah melalui rekaan fender yang terkeluar dan body cladding hitam yang jelas. Gabungan ini menjadikan warna badan kelihatan lebih menonjol dengan kesan dua tona. Varian IWD dilengkapi rim bersaiz 19 inci, manakala varian 2WD menggunakan rim 18 inci.
Pintu menggunakan door handle jenis flush. Walaupun rekaan ini membantu dari segi aerodinamik dan kelihatan moden, penggunaan door handle jenis ini telah diharamkan di China selepas tahun 2027 atas faktor keselamatan.

Prestasi dan Sistem Elektrik
iCAUR 03 IWD menggunakan konfigurasi dual motor elektrik dengan kuasa sekitar 275 hp dan 385 Nm tork. Pecutan 0 hingga 100 km sejam dicapai dalam masa sekitar 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan pada 150 km sejam.
Ia menggunakan bateri berkapasiti 69 kWh jenis LFP. Pengecasan AC dari 30% ke 80% mengambil masa sekitar 8 hingga 9 jam. Untuk pengecasan pantas DC, 0% hingga 80% boleh dicapai dalam sekitar 35 hingga 40 minit.
Rekaan Belakang dan Ruang Kargo
Bahagian belakang menampilkan beberapa elemen logo iCAUR termasuk lampu brek dan logo IWD. Kotak hitam di belakang yang kelihatan seperti penutup tayar simpanan sebenarnya merupakan ruang simpanan tambahan dan bukannya tayar ganti.
Ruang kargo belakang menawarkan kapasiti sekitar 450 liter dan boleh meningkat sehingga 1,200 liter apabila kerusi belakang dilipat. Turut disediakan ruang simpanan tambahan berkapasiti 24 liter di bawah tempat duduk belakang.


Rekaan Dalaman dan Teknologi
Masuk ke dalam kabin, rekaan dalaman iCAUR 03 mengekalkan tema kotak sepenuhnya. Door handle dalaman tidak menggunakan mekanisme konvensional, sebaliknya menggunakan suis dengan mekanikal kecemasan disorokkan.
Skrin infotainment bersaiz 15.6 inci dipadankan dengan paparan meter digital 9.2 inci. Hampir semua fungsi dikawal melalui skrin tanpa kehadiran butang fizikal pada konsol tengah. Kawalan audio dan pendingin hawa masih boleh diakses melalui butang pada stereng. Sistem audio menggunakan 12 pembesar suara Infinity.
Gear selector menggunakan column shift, manakala tuas wiper dan signal dikongsi pada sebelah kiri. Semua kerusi dibalut kulit dan dilengkapi ventilated seat. Sunroof bersaiz besar turut disertakan bersama sunshade untuk mengurangkan haba dalam kabin.


Mod Pemanduan dan Keupayaan Off-Road
Ramai beranggapan sistem dual motor pada EV hanya untuk prestasi, namun pada iCAUR 03 ia turut menyokong pemanduan off-road ringan. Secara keseluruhan, iCAUR 03 menawarkan sembilan mod pemanduan. Lima daripadanya merupakan mod off-road yang direka untuk pelbagai permukaan dan keadaan jalan.
Selain itu, terdapat tiga mod pemanduan untuk kegunaan harian iaitu Normal, Eco dan Sport. Turut disediakan satu mod Custom yang membolehkan pemilik melaraskan tetapan kenderaan mengikut citarasa sendiri. Kesemua mod pemanduan ini boleh dipilih dan dikawal terus melalui skrin infotainment.
Pengalaman Memandu Selama Lima Hari
Sepanjang lima hari menggunakan iCAUR 03, antara pengalaman paling menarik adalah pemanduan ke kampung Janda Baik, Pahang. Memandu sebuah EV di laluan pendalaman hutan memberikan pengalaman yang sangat berbeza berbanding kenderaan enjin petrol atau diesel.
Dengan semua tingkap dan sunroof dibuka, suasana pemanduan terasa lebih dekat dengan alam. Udara segar hutan dapat dinikmati sepenuhnya tanpa gangguan bunyi deruman enjin. Disebabkan iCAUR 03 merupakan kenderaan elektrik, hampir tiada bunyi mekanikal kedengaran selain bunyi tayar yang bersentuhan dengan permukaan jalan.
Lebih menarik, ketika memandu di sekitar Janda Baik, segala bunyi alam seperti serangga dan burung dapat didengar dengan jelas. Pengalaman ini sukar diperoleh dengan kenderaan konvensional kerana bunyi enjin biasanya mendominasi kabin.

Dalam penggunaan bandar pula, iCAUR 03 menunjukkan sisi yang berbeza. Antara ciri paling membantu ialah sistem kamera 540° yang memudahkan pemanduan di lorong sempit serta ketika parkir, terutamanya di kawasan bandar yang padat. Visual sekeliling kenderaan dapat dilihat dengan jelas dan mengurangkan tekanan ketika memandu dalam ruang terhad.
Menariknya, sepanjang pemanduan di bandar, iCAUR 03 turut mempunyai faktor wow yang kuat. Setiap kali berhenti, sama ada di kawasan parkir atau lampu isyarat, pasti ada yang bertanya, “Kereta apa ni?”. Ini menunjukkan rekaan unik iCAUR 03 bukan sahaja menonjol di atas jalan, malah mudah menarik perhatian orang sekeliling.

Ciri Keselamatan
iCAUR 03 dilengkapi enam beg udara serta sistem bantuan pemandu ADAS tahap 2.
Harga rasmi iCAUR 03 IWD di Malaysia ialah RM 129,800.00 manakala varian 2WD ditawarkan pada harga RM 119,800.00. Ini meletakkan anggaran bayaran bulanan sekitar RM 1,200.00 hingga RM 1,300.00, sedikit lebih mahal berbanding EV nasional paling laris pada tahun 2025.
Dengan gabungan rekaan boxy futuristik, faktor wow pada design, pengalaman pemanduan yang tenang serta teknologi EV moden pada harga bawah RM 130,000.00, iCAUR 03 menawarkan pendekatan yang berbeza dalam segmen EV SUV.
