E-Bike Meletup Ketika Dicas, 8 Terbunuh – UK Gesa Undang-Undang Lebih Ketat

oleh Qalif Latif|
Pihak berkuasa keselamatan produk dan bomba di United Kingdom mengeluarkan amaran keras selepas jumlah kebakaran melibatkan e-bike dan e-scooter mencatat angka tertinggi dalam sejarah dengan lebih 200 insiden direkodkan sepanjang tahun 2024, melibatkan 8 kematian dan 86 kecederaan.

Data yang dikumpul oleh Office for Product Safety and Standards (OPSS) menunjukkan peningkatan ketara, berbanding hanya 26 kes pada tahun 2020. Sebahagian besar insiden berpunca daripada bateri lithium-ion, khususnya melibatkan modifikasi DIY dan pembelian kit murah secara dalam talian.

Antara insiden paling tragik ialah kematian Luke Albiston O’Donnell, kanak-kanak 8 tahun dari Merseyside, yang maut akibat keracunan karbon monoksida selepas e-bike meletup ketika dicas dalam ruang tamu. Dalam kes lain, sebuah keluarga di Catford kehilangan rumah apabila e-bike terpakai yang dibeli meletup ketika dicas insiden ini hampir meragut nyawa sekeluarga.

Bateri Murah, Risiko Tinggi

Pakar keselamatan mengesahkan bahawa bateri murah dan pengecas tidak serasi menjadi punca utama kebakaran. Kit ubah suai e-bike yang dibeli serendah £150 secara dalam talian sering tidak mematuhi piawaian keselamatan UK, dan lebih membimbangkan, masih banyak dijual di platform seperti Facebook Marketplace dan eBay.

Menurut London Fire Brigade, kebanyakan kebakaran berpunca daripada produk yang dijual tanpa pematuhan piawaian keselamatan rasmi, berbeza dengan barangan yang dibeli dari kedai fizikal. Pegawai Richard Field menggesa kerajaan agar mempercepatkan penguatkuasaan melalui Product Regulation and Metrology Bill.

Cadangan Undang-Undang Lebih Ketat

Badan amal Electrical Safety First pula menuntut langkah lebih tegas termasuk pensijilan pihak ketiga yang wajib untuk semua bateri dan pengecas e-mobiliti yang dijual secara dalam talian, serta penggubalan piawaian keselamatan baharu.

Sementara itu, Amazon dan beberapa platform lain memberi jaminan bahawa mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau penjual dan menyediakan panduan keselamatan kepada pengguna.

Sumber Asal
E‑bikes and e‑scooters fire warning after record number of blazes and eight deaths – The Independent