Chery Tiggo 9 Rasmi Dilancarkan di Malaysia – SUV Flagship 7 Tempat Duduk, dari RM166,800

oleh Firdaus Razani|
Chery Malaysia secara rasmi memperkenalkan Chery Tiggo 9 ke pasaran tempatan, sekali gus menjadikannya model paling premium dan terbesar dalam keluarga Tiggo yang ditawarkan di Malaysia.

SUV segmen-D ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembeli yang mahukan sebuah kenderaan keluarga dengan ruang kabin luas, prestasi bertenaga serta kelengkapan premium yang setanding dengan model-model dalam kelas lebih tinggi.

Berbeza dengan model Chery lain yang ditawarkan dalam beberapa varian, Tiggo 9 hanya hadir dalam satu varian sahaja.

Namun begitu, Chery Malaysia menawarkan dua pilihan pakej Early Bird bagi memberi lebih fleksibiliti kepada pelanggan, iaitu Prime dan Flexi, bergantung kepada keperluan serta bajet masing-masing.

 

Chery

 

Bagi pelanggan yang memilih Pakej Prime, SUV ini ditawarkan pada harga RM179,800. Pakej tersebut didatangkan bersama pelbagai insentif menarik termasuk rebat tunai RM5,000, subsidi petrol bernilai RM3,000 serta insurans percuma selama setahun yang bernilai sekitar RM4,500.

Selain itu, pembeli turut menikmati waranti kenderaan selama tujuh tahun atau sehingga 150,000 km, waranti enjin selama 10 tahun atau sehingga 1,000,000 km, serta servis berkala percuma selama lima tahun, menjadikan pakej ini lebih bernilai untuk pemilikan jangka panjang.

Sementara itu, Pakej Flexi pula ditawarkan pada harga lebih kompetitif iaitu RM166,800.

Walaupun tidak disertakan dengan rebat tunai, subsidi petrol dan insurans percuma, pakej ini masih mengekalkan tawaran waranti yang sama seperti Pakej Prime, sekali gus memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik sepanjang tempoh penggunaan kenderaan.

 

Chery

 

Rekaan premium dengan konfigurasi tujuh tempat duduk

Sebagai model flagship, Tiggo 9 direka dengan penampilan yang lebih elegan dan mewah berbanding model-model Chery lain.

Bahagian hadapan menampilkan gril bersaiz besar bercorak berlian tiga dimensi yang dipadankan dengan lampu utama LED, sekali gus memberikan imej yang lebih eksklusif.

 

Chery

 

SUV ini turut dilengkapi rim aloi bersaiz 20 inci, lampu puddle, lampu belakang LED penuh, rel bumbung, pintu belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan (hands-free power tailgate) serta bumbung suria panoramik yang membantu memberikan suasana kabin lebih lapang dan terang.

Dengan ukuran 4,810 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,741 mm tinggi dan jarak roda 2,800 mm, Tiggo 9 menawarkan ruang dalaman yang luas untuk tujuh penumpang.

Ruang simpanan barang juga boleh dipelbagaikan mengikut konfigurasi tempat duduk, dengan kapasiti but bermula 143 liter, meningkat kepada 448 liter apabila barisan ketiga dilipat, dan sehingga 2,065 liter apabila kedua-dua barisan belakang dilipat sepenuhnya.

 

Chery

 

Kabin mewah dengan pelbagai ciri keselesaan

Di bahagian dalam, Chery memberi penekanan terhadap keselesaan setiap penumpang.

Tempat duduk hadapan hadir dengan fungsi urut (massage), pengudaraan (ventilated) serta pemanas (heated), manakala tempat duduk barisan kedua turut dilengkapi fungsi pengudaraan dan pemanas.

Turut melengkapkan kabin ialah tempat duduk pemandu larasan elektrik 10 hala bersama fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektrik enam hala, kawalan pendingin hawa dua zon, panel kawalan pendingin hawa untuk penumpang belakang, pencahayaan ambien 64 warna, penapis udara kabin N95, storan tengah dengan fungsi penyejukan serta stereng larasan elektrik.

 

Chery

 

Teknologi moden untuk pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan

Dari segi teknologi, Tiggo 9 dilengkapi paparan infotainmen bersaiz 15.6 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, selain paparan instrumen digital 10.25 inci dan Head-Up Display (HUD) untuk memaparkan maklumat pemanduan secara terus pada cermin hadapan.

Sistem hiburan pula menggunakan 14 pembesar suara Sony Premium Audio, manakala pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W dengan sistem penyejukan turut disediakan bagi memastikan peranti kekal sejuk ketika dicas.

SUV ini juga menyokong arahan suara pintar (Intelligent Voice Assistant) bagi memudahkan pengendalian beberapa fungsi kenderaan.

 

Chery

 

Enjin 2.0 TGDI, 256 PS dan sistem AWD

Menggerakkan Tiggo 9 ialah enjin 2.0 liter TGDI empat silinder yang menghasilkan 256 PS dan 390 Nm tork. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik dual-clutch tujuh kelajuan (7DCT) yang menyalurkan kuasa ke sistem pacuan semua roda (AWD).

Bagi membantu pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan, Tiggo 9 menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, Snow, Mud, Sand dan Off-Road.

Penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 8.3 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala tangki bahan api berkapasiti 65 liter membolehkan perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak.

 

Chery

 

Lengkap dengan ciri keselamatan dan ADAS

Aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan struktur badan yang menggunakan keluli berkekuatan tinggi, selain dilengkapi 10 beg udara sebagai ciri standard.

Dari segi bantuan pemanduan, Tiggo 9 menawarkan pakej ADAS 2.5 yang merangkumi 23 sistem bantuan pemandu, antaranya Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Keeping Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Rear Cross Traffic Braking (RCTB), Driver Monitoring System (DMS), Traffic Sign Recognition (TSR), Intelligent High Beam Control (IHC) serta Automatic Parking Assist (APA)yang membolehkan SUV ini meletakkan kenderaan secara automatik.

Secara keseluruhannya, Chery Tiggo 9 tampil sebagai sebuah SUV yang menawarkan pakej lengkap untuk mereka yang mencari sebuah kenderaan keluarga premium.

 

Chery

 

Selain ruang kabin yang luas dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, model ini turut menggabungkan prestasi enjin 2.0 TGDI, sistem pacuan semua roda, pelbagai ciri keselesaan serta teknologi keselamatan moden dalam satu pakej yang kompetitif.

Dengan harga promosi bermula RM166,800 menerusi pakej Flexi, atau RM179,800 bersama pelbagai insentif di bawah pakej Prime, Tiggo 9 kini menjadi model paling premium dalam portfolio Chery Malaysia dan dijangka memberi saingan sengit kepada SUV tujuh tempat duduk lain dalam segmen yang sama.