Art of Speed 2026 Pecah Rekod, Buktikan Budaya Kustom Terus Berkembang di Malaysia

oleh Firdaus Razani|
Festival automotif dan gaya hidup, Art of Speed (AOS) Malaysia 2026 sekali lagi membuktikan bahawa budaya Kustom Kulture terus berkembang dengan cukup pesat apabila berjaya menghimpunkan ribuan peminat dari dalam dan luar negara di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Bersempena ulang tahunnya yang ke-15, AOS tahun ini tampil lebih meriah menerusi tema "Summer Festival - Kustom Bergaya", sekali gus menjadikan edisi kali ini antara yang terbesar pernah dianjurkan.

Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan gabungan unik dunia automotif, muzik, seni, fesyen dan komuniti dalam satu festival yang cukup berwarna-warni. Tidak sekadar mempamerkan kenderaan kustom bertaraf dunia, AOS turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai dinikmati seisi keluarga.

Tarikan Antarabangsa Jadi Perhatian

Salah satu kekuatan utama Art of Speed ialah kehadiran tokoh-tokoh terkenal dunia dalam industri automotif kustom. Tahun ini, festival tersebut menerima penyertaan nama besar seperti MOONEYES, Liberty Walk, DicE Magazine, Hawgholic, Vise Clothing, serta pereka utama koleksi Hot Wheels Premium, Ronald Wong.

 

AOS26

 

Selain itu, pelbagai komuniti dan penganjur acara kustom dari Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei turut hadir memeriahkan festival, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara hab Kustom Kulture paling berpengaruh di rantau Asia Tenggara.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang melihat secara dekat jentera-jentera kustom yang jarang dipamerkan kepada umum termasuk Harley-Davidson Knucklehead 1945, Harley-Davidson Shovelhead 1966, selain pelbagai kereta modifikasi dari Thailand, Taiwan dan Jepun.

 

AOS26

 

SoundCircus Festival Tambah Kemeriahan

Selain dunia automotif, AOS 2026 turut dimeriahkan dengan SoundCircus Festival, yang menampilkan enam pentas persembahan muzik di seluruh kawasan MAEPS.

Barisan artis terkenal seperti Ella bersama Cokelat, Sheila Majid, Nadin Amizah, Hujan, Disagree, Hari Slatan dan ramai lagi berjaya menarik ribuan peminat sepanjang festival berlangsung.

Lebih menarik, AOS memperkenalkan Flying Fox pertama di Asia yang merentasi kawasan penonton konsert secara langsung. Pengunjung berpeluang menikmati persembahan muzik dari udara, sekali gus menawarkan pengalaman festival yang cukup unik dan berbeza daripada acara automotif lain.

 

AOS26

 

Arena Kreativiti Pembina Motosikal

Seperti kebiasaan, pertandingan Art of Speed Invitational Bike Build-Off kembali menjadi antara acara paling dinanti.

Lapan pembina motosikal terbaik mempersembahkan hasil kerja masing-masing sebelum Mujo Juros dinobatkan sebagai juara menerusi jentera GPX Gentleman 200. Menariknya, beliau bukan sahaja dipilih oleh panel juri, malah turut menerima undian tertinggi daripada pengunjung festival.

Hot Wheels Kembali Jadi Tumpuan

Bagi peminat model die-cast, Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi keempat sekali lagi menjadi antara lokasi paling sibuk sepanjang festival berlangsung.

Kemuncaknya ialah pelancaran model eksklusif HWCCM 2026 Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34) yang hadir bersama nombor siri unik serta lesen rasmi Nissan.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran Ronald Wong selaku Lead Product Designer Hot Wheels Premium dan pameran khas Nissan Skyline GT-R oleh Malaysia Skyline Owners Group (MSOG).

 

AOS26

 

Lebih Daripada Sekadar Festival Automotif

Apa yang membezakan Art of Speed daripada festival automotif lain ialah pendekatannya yang menggabungkan budaya, seni dan gaya hidup.

Tahun ini, AOS menjalinkan kerjasama bersama pelbagai jenama termasuk Liberty Walk, Hot Wheels, DICE Magazine, Touch 'n Go, Zippo, Cricket, Xocks dan beberapa lagi bagi menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pengunjung.

Festival ini turut menampilkan kolaborasi bersama Astro Shaw menerusi promosi filem Terbang yang mempamerkan kenderaan ikonik daripada filem tersebut.

Dalam masa sama, pelbagai aktiviti komuniti seperti himpunan kelab kereta dan skuter, pertandingan basikal, zon permainan kanak-kanak serta pameran fesyen vintaj dan streetwear turut berlangsung sepanjang acara.

 

AOS26

 

Ganjaran Bernilai Lebih RM80,000

Bagi menambah keseronokan pengunjung, AOS sekali lagi memperkenalkan Kembara Passport, iaitu cabaran interaktif di reruai penaja yang menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM80,000.

Hadiah utama tahun ini termasuk sebuah motosikal custom Thunder Motorcycles 250 serta Honda HR-V MK1 Japan Edition yang telah diubah suai khas, selain pelbagai hadiah menarik lain seperti kamera DJI, pakej pelancongan dan sebuah Vespa S 125.

Tourism Selangor Promosi Pelancongan Bermotor

Art of Speed 2026 turut menjadi platform pelancaran Tourscape @ Selangor, iaitu inisiatif Tourism Selangor yang menggabungkan dunia automotif dengan pelancongan.

Melalui Road Trip Fun Maps, pengunjung boleh meneroka 12 daerah di Selangor menggunakan kereta atau motosikal sambil menikmati tarikan pelancongan, makanan dan budaya tempatan. Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama beberapa pemimpin negeri.

 

AOS26

 

Malaysia Semakin Dikenali Dalam Dunia Kustom

Menurut Pengarah Festival Art of Speed, Asep Ahmad Iskandar, peningkatan penyertaan antarabangsa membuktikan usaha selama 15 tahun membina hubungan bersama komuniti Kustom Kulture global akhirnya membuahkan hasil.

Beliau berkata, Art of Speed bukan lagi sekadar sebuah festival automotif, sebaliknya telah berkembang menjadi platform yang menghubungkan pembina kenderaan, artis, jenama dan peminat dari seluruh dunia.

Dalam masa sama, AOS akan terus komited memperkasakan bakat tempatan serta mengangkat Malaysia sebagai antara pusat utama budaya Kustom Kulture di rantau ini.

 

AOS26

 

Shaun Jonathan Pinto Rangkul Gelaran Best of Show

Bagi kategori paling berprestij, Best of Show Automobile dimenangi oleh Shaun Jonathan Pinto menerusi 1957 356 Speedster Replica, sekali gus melayakkan beliau membawa pulang pakej eksklusif ke Jepun untuk menghadiri 34th Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod Custom Show 2026.

Sementara itu, gelaran Best of Show Motorcycle menjadi milik The Bangkok Boys, sekali lagi membuktikan persaingan antarabangsa yang semakin sengit di pentas Art of Speed.

 

AOS26