Lambretta X250GP Speedster menampilkan grafik sisi badan yang menggabungkan jalur ikonik Lambretta bersama motif nyalaan api (flame motif), sekali gus memberikan penampilan yang lebih dinamik tanpa menghilangkan identiti klasik jenama Itali itu.
Ia ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu iaitu Aurora Grey Matte, Super Black dan Latte Brown.
Dari segi prestasi, X250GP Speedster menggunakan enjin silinder tunggal SOHC bersesaran 244 cc, empat lejang, penyejukan cecair dan empat injap.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 22.8 hp pada 8,500 rpm serta 22 Nm tork pada 6,500 rpm, dengan sistem suntikan bahan api dikawal oleh ECU Bosch.
Berdasarkan spesifikasi tersebut, ia menawarkan prestasi yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Bagi aspek casis, skuter ini dibina menggunakan semi monocoque frame dengan komponen keluli serta dipadankan dengan sistem suspensi hadapan jenis Double "Pulled Wheel" Swing Arm bersama penyerap hentak berkembar YSS.
Di bahagian belakang pula, ia menggunakan penyerap hentak berkembar YSS bagi membantu meningkatkan kestabilan dan keselesaan ketika menunggang.
Sistem brek pula menggunakan cakera pada roda hadapan dan belakang, manakala tayar tanpa tiub IRC bersaiz 120/70-12di hadapan dan 130/70-12 di belakang memberikan cengkaman yang lebih baik di atas jalan raya.
Tangki bahan api berkapasiti 7.5 liter melengkapkan pakej skuter premium ini.
Dari segi dimensi, Lambretta X250GP Speedster mempunyai panjang keseluruhan 1,922 mm, lebar 741 mm, jarak roda 1,370 mm serta ketinggian tempat duduk 770 mm, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis penunggang.
Secara keseluruhannya, Lambretta X250GP Speedster memberi nafas baharu kepada model X250GP menerusi gabungan rekaan yang lebih sporty bersama prestasi enjin 244 cc yang bertenaga.
Dengan identiti reka bentuk yang unik serta pilihan warna baharu, ia terus memperkukuhkan kedudukan Lambretta dalam segmen skuter premium di Malaysia.