Mengambil inspirasi daripada model klasik seperti J50, J100 dan J125 Starstream, J200 mengekalkan falsafah reka bentuk ikonik Lambretta menerusi badan monocoque keluli penuh (full steel body), siluet "Low & Long", lampu hadapan berbentuk heksagon serta sistem suspensi hadapan Double Arm-Link yang menjadi identiti jenama itu sejak sekian lama.
Walaupun mengekalkan elemen retro, Lambretta turut melengkapkan J200 dengan pelbagai teknologi moden bagi memenuhi keperluan penunggang masa kini.
Antaranya termasuk sistem lampu LED sepenuhnya dan paparan meter digital TFT yang menawarkan paparan maklumat lebih jelas serta pengalaman tunggangan yang lebih praktikal.
Dari sudut prestasi, Lambretta J200 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang bersesaran 174.5 cc dengan penyejukan cecair dan empat injap.
Enjin yang menggunakan sistem ECU Bosch itu menghasilkan 16.8 hp pada 8,500 rpm serta 15.5 Nm tork pada 6,500 rpm, sekali gus menawarkan prestasi yang sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar.
Bagi aspek tunggangan pula, J200 menggunakan rangka Load-Bearing Frame, dipadankan dengan suspensi hadapan Double Arm-Link serta suspensi belakang jenis spring berkembar.
Sistem brek cakera bersama ABS dua salurandipasang pada roda hadapan dan belakang bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek. Berdasarkan helaian spesifikasi, ia menggunakan tayar bersaiz 110/70-12 di hadapan dan 120/70-12 di belakang.
Selain itu, Lambretta J200 turut menawarkan dimensi yang kompak dengan panjang keseluruhan 1,890 mm, lebar 740 mm, jarak roda 1,340 mm serta ketinggian tempat duduk sekitar 780 mm, menjadikannya mudah dikendalikan dalam persekitaran bandar. Tangki bahan api berkapasiti 9 liter, manakala berat keseluruhannya ialah 139 kg. Maklumat ini boleh dilihat pada helaian spesifikasi rasmi model tersebut.
Kehadiran Lambretta J200 bukan sahaja menghidupkan semula legasi J Series, malah membuktikan bahawa elemen warisan dan teknologi moden mampu digabungkan dalam sebuah skuter premium.
Ia sekali gus menambah pilihan kepada pengguna Malaysia yang mahukan gaya klasik dengan pengalaman tunggangan yang lebih kontemporari.