100% Loan. Mudah Milik Kereta Atau Perangkap Kewangan?

oleh Qalif Latif|
Di Malaysia hari ini, memiliki kereta baharu bukan lagi sekadar impian malah semakin mudah direalisasikan dengan pelbagai pilihan pembiayaan yang ditawarkan. Antara yang paling popular, terutamanya dalam kalangan anak muda dan penjawat awam, ialah pelan pembiayaan 100%, atau lebih dikenali sebagai skim tanpa bayaran pendahuluan.

Pelan ini pembeli tidak perlu mengeluarkan satu sen pun sebagai deposit. Harga keseluruhan kenderaan dibiayai sepenuhnya oleh pihak bank atau institusi kewangan. Ini bermakna, sesiapa yang layak boleh memandu keluar dengan kereta baharu hanya dengan menandatangani surat perjanjian pinjaman. Skim sebegini mendapat sambutan tinggi kerana ia sangat membantu mereka yang belum sempat menyimpan tunai, namun amat memerlukan kenderaan sama ada untuk ke tempat kerja, berniaga, atau memulakan kehidupan baru.

Namun seperti semua benda dalam hidup, kemudahan datang dengan harganya. Walaupun kedengaran menarik, pembiayaan penuh ini turut membawa risiko tersendiri yang ramai kurang sedar. Apabila tiada downpayment dibuat, jumlah pinjaman menjadi jauh lebih tinggi. Ini akan memberi kesan langsung terhadap bayaran bulanan lebih tinggi berbanding mereka yang membuat deposit awal. Dalam masa yang sama, kadar faedah yang dikenakan mungkin juga lebih tinggi kerana institusi kewangan menganggap pinjaman tanpa deposit sebagai lebih berisiko.

Situasi menjadi lebih meruncing apabila kita mengambil kira kejatuhan nilai kenderaan. Dalam tahun pertama, sesebuah kereta boleh menyusut nilai antara 20% hingga 30%. Jika pembeli mengambil pembiayaan penuh, baki pinjaman biasanya masih lebih tinggi daripada nilai pasaran semasa kereta. Fenomena ini dikenali sebagai negative equity dan ia boleh menjadi satu beban jika pemilik ingin menjual atau tukar kereta dalam tempoh awal.

Malaysia juga merupakan antara negara yang membenarkan tempoh pembiayaan kereta paling panjang di dunia sehingga sembilan tahun. Walaupun ini menjadikan bayaran bulanan lebih rendah secara nominal, hakikatnya pembeli akan membayar lebih banyak dari segi faedah dan menanggung komitmen hutang jangka panjang. Ramai tidak menyedari bahawa “bayaran rendah” itu datang bersama faedah beribu-ribu ringgit sepanjang tempoh pinjaman.

100

Iklan promosi pembiayaan 100% untuk kakitangan kerajaan oleh Ford

Contoh paling dekat yang boleh dilihat ialah promosi semasa oleh Sime Darby Auto ConneXion untuk Ford Ranger. Dalam kempen ini, penjawat awam ditawarkan peluang memiliki trak pikap berkenaan tanpa perlu membayar apa-apa pendahuluan. Ia dipasarkan sebagai pelan mampu milik, dengan ansuran bulanan yang dikatakan rendah dan mudah diurus. Namun seperti biasa, promosi ini tertakluk kepada terma dan syarat tertentu yang perlu diteliti. Kos keseluruhan, kadar faedah, serta perlindungan insurans perlu difahami dengan jelas sebelum menandatangani apa-apa.

Selain penjawat awam, satu lagi golongan yang sering disasarkan ialah graduan baru. Banyak bank tempatan serta pengeluar seperti Perodua, Toyota dan Honda kini menawarkan skim pembiayaan graduan yang turut membenarkan pinjaman 100%. Apa yang membezakan skim ini ialah kelonggaran syarat ada yang tak perlukan slip gaji, cukup sekadar surat tawaran kerja. Graduan yang baru mula bekerja dan belum mempunyai pendapatan tetap pun boleh lulus, asalkan tiada rekod buruk dalam CCRIS atau CTOS. Kadar faedah biasanya kekal, dan tempoh pinjaman pun boleh sampai sembilan tahun.

Skim ini dilihat sangat membantu, namun dalam masa yang sama, ia membuka ruang kepada masalah kewangan lebih awal. Anak muda yang baru bekerja terikat dengan komitmen tinggi dari awal, dan jika tidak dirancang dengan baik, ia akan menyukarkan keupayaan mereka membeli rumah, menyimpan atau menangani kecemasan kewangan pada masa hadapan.

100

Iklan promosi 100% pembiayaan pernah ditawarkan oleh Bank Islam dan Perodua

Apa yang menarik, Malaysia juga mencatatkan kadar pemilikan kereta antara tertinggi di Asia. Terkini, negara kita berada di tangga kedua rantau ini dengan 535 kenderaan bagi setiap 1,000 orang mengatasi negara-negara seperti Korea Selatan, China dan Thailand. Malah dalam ranking global, Malaysia berada sekitar kedudukan ke-23 dunia. Di Pulau Pinang sahaja, nisbah kenderaan kepada penduduk melebihi 1.5, bermakna lebih banyak kenderaan daripada manusia. Ini menunjukkan betapa tinggi kebergantungan rakyat terhadap kereta, terutama di kawasan yang kekurangan pengangkutan awam.

Kadar pemilikan yang tinggi ini sememangnya menjadi cerminan kemampuan rakyat membeli kenderaan, tetapi dalam masa sama ia turut mendedahkan risiko lambakan hutang automotif terutamanya apabila digabungkan dengan pinjaman jangka panjang dan pembiayaan tanpa deposit.

100
Skim Graduan juga pernah ditawarkan oleh Toyota dan panel banknya

Skim pembiayaan untuk graduan biasanya dengan syarat:

  • -  Pembelian kereta pertama
  • -  Umur mesti dibawah 30
  • -  Pemegang minima diploma
  • -  Sudah bekerja dengan menerima surat tawaran jawatan

Lebih membimbangkan, hutang isi rumah rakyat Malaysia kini mencecah 84.2% daripada KDNK negara. Daripada jumlah ini, 13.5% datang daripada pinjaman kenderaan. Malah, menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman kereta adalah punca kedua tertinggi dalam kes kebankrapan, menyumbang 14.39 peratus atau lebih 7,000 kes antara tahun 2018 hingga 2022.

Situasi ini lebih merisaukan apabila melihat kepada golongan muda. Kajian oleh UCSI University mendapati bahawa 73% individu muda Malaysia berumur antara 18 hingga 40 tahun mempunyai hutang, dan hampir satu pertiga daripada mereka mengambil pinjaman untuk membeli kereta. Ini menunjukkan bahawa pinjaman kenderaan bukan sahaja memberi tekanan kepada kewangan individu, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kadar muflis dalam kalangan belia.

Apa yang penting, pembeli perlu faham bahawa pembiayaan 100% bukan untuk semua orang. Jika benar-benar perlukan kereta dan mampu membayar secara konsisten, ia satu penyelesaian yang praktikal. Tetapi jika sekadar mahu memiliki kereta tanpa kemampuan kewangan kukuh, ia boleh menjadi permulaan kepada krisis hutang jangka panjang.

Langkah paling selamat tetap dengan menyimpan dan membayar sekurang-kurangnya sedikit sebagai deposit. Ia bukan sahaja mengurangkan jumlah pinjaman dan faedah, malah memberi ruang kewangan yang lebih selesa. Tidak salah mahu miliki kereta baharu, tetapi pastikan kita bukan sekadar mampu memandunya tetapi juga mampu menanggungnya.

Berita Berkenaan

Informasi
  Beliau berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 31 (1) Akta Sewa Beli 1967 dan mereka…
Berita Domestik
TINDAKAN syarikat menjual kenderaan baru dan terpakai yang menawarkan penjualan tanpa deposit…